Ahad, 20 Oktober 2019 | 3:51pm
Mercu tanda tugu Penghujung Selatan Tanah Besar Asia, di Taman Negara Tanjung Piai, Kukup, Pontian. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Umum calon Rabu minggu depan

PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan diumumkan pada Rabu minggu depan.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, berkata persiapan rapi dilakukan bagi pengumuman calon PH berkenaan.

“PH dijangka mengumumkan calon PH bagi Parlimen Tanjung Piai selepas cuti Deepavali ini, iaitu pada 30 Oktober.

“Ia akan diadakan di dataran terbuka di hadapan Dewan Jubli Intan, Pontian dan persiapan sedang giat dijalankan selaras dengan arahan pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita ketika ditemui selepas Program Jom Sekolah 2020 oleh Yayasan Harapan Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Tanjung Piai, dekat sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi PH Johor yang juga Pengarah Pilihan Raya PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata, PH membayangkan bakal meletak calon berpengalaman dengan latar belakang baik PRK Parlimen Tanjung Piai, bulan depan.

Muhyiddin berkata, calon PH untuk PRK Parlimen Tanjung Piai itu juga sudah hampir dimuktamadkan.

Ditanya mengenai calon yang akan ditampilkan PH, Karmaine berkata, BERSATU Bahagian Tanjung Piai sudah menghantar senarai tiga nama dari bahagian berkenaan untuk dipertimbang pucuk pimpinan.

“Tiga nama berkenaan adalah pimpinan di Bahagian BERSATU Tanjung Piai dan terpulang kepada pucuk pimpinan membuat pilihan atau pun mengumumkan nama yang mampu memberi kemenangan kepada PH nanti.

“Sebelum ini, pimpinan pusat ada mengeluarkan borang khas bagi mana-mana ahli BERSATU yang berminat menjadi calon supaya menghantar permohonan mereka. Namun, tiada yang tampil menghantar borang menerusi BERSATU Bahagian Tanjung Piai setakat ini,” katanya.

Ditanya sama ada satu daripada tiga nama yang dihantar mengandungi namanya, Karmaine enggan mengulas lanjut.

“Mungkin ada. Mungkin juga tiada,” katanya.

Berita Harian X