Sabtu, 19 Oktober 2019 | 8:39pm
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution. - NSTP/Rohanis Shukri

Wujud agenda khianat amanah rakyat

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui wujud perancangan tersembunyi dan agenda tertentu yang bertujuan mengkhianati amanah rakyat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata usaha berkenaan dilakukan pihak yang bertujuan menjaga kelangsungan politik peribadi mereka.

"Kami sudah berbincang mengenai perkara itu dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti mengambil pendirian bahawa rakyat harus lihat ada kemungkinan percubaan untuk agenda reformasi yang sudah dijalankan sekian lama.

"Usaha berkenaan hanya bertujuan untuk mengembalikan politik usang berbanding politik inklusif yang dibawa Pakatan Harapan (PH).

"Jadi, kami mengingatkan rakyat bahawa mereka yang dalam kalangan menggerakkan usaha itu adalah bertujuan menyelamatkan diri daripada pihak berkuasa," katanya  ketika ditemui selepas merasmikan Festival InvestSmart Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan MPP PKR yang mengingatkan bahawa parti berkenaan berwaspada dengan pengkhianatan agenda rakyat, semalam.

Dalam kenyataan itu, MPP antara lain, berkata semua pihak diminta berwaspada dengan pihak yang sedang membuat perancangan tersembunyi serta menyusun agenda tertentu demi untuk kelangsungan politik peribadi.

"Usaha yang mengkhianati amanah dan agenda rakyat ini jelas adalah perbuatan terdesak akibat daripada kegelisahan terhadap siasatan dan kemungkinan pendakwaan yang akan dijalankan ke atas mereka," katanya.

PKR turut memberi amaran dan berikrar akan bangkit melawan serta menentang habis-habisan sekiranya didapati pihak itu bertekad untuk membelakangi prinsip demokrasi dan meneruskan agenda jahat mereka yang jelas satu pengkhianatan kepada seluruh rakyat.

Berita Harian X