Sabtu, 19 Oktober 2019 | 3:04pm
SETIAUSAHA Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon. - Foto Iqmal Haqim Rosman

MCA masih kunci mulut isu letak calon Melayu di Tanjung Piai

KUALA LUMPUR: Pemimpin MCA masih mengunci mulut dan enggan mengulas dakwaan pemimpin UMNO bahawa majoriti pengundi mahukan calon Melayu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Sebaliknya, MCA menyerahkan kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk memutuskan isu pemilihan calon pada mesyuarat akan diadakan hujung bulan ini.

“Biarlah Majlis Tertinggi BN putuskan,” kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, portal berita menyiarkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bahawa majoriti pengundi mahukan calon Melayu bertanding pada PRK itu.

Annuar dilaporkan berkata, ia berdasarkan tinjauan akar umbi dilakukan parti itu bagi melihat ‘mood’ pengundi di Tanjung Piai.

Menurut laporan berkenaan, Annuar bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada kebijaksanaan kepemimpinan BN untuk membuat keputusan berhubung calon yang akan diletakkan di kerusi tradisi MCA itu.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi bayangan parti itu bakal bertanding pada PRK berkenaan.

Ahmad Zahid dilaporkan ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Johor berkata, pengundi Melayu mahukan perubahan di kawasan itu.

Bagaimanapun, MIC menuntut UMNO tidak merampas kerusi Tanjung Piai bagi membuktikan pembangkang mampu menerajui kerajaan yang dibentuk menerusi kepemimpinan pelbagai kaum dan agama.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India, manakala lain-lain 0.55 peratus.

Kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, akibat komplikasi jantung, 21 September lalu.

Allahyarham memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada PRU-14, menewaskan penyandang daripada BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng, dan calon PAS, Nordin Othman.

Berita Harian X