Sabtu, 19 Oktober 2019 | 7:41am
Gambar fail, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyampaikan ucapan pada satu majlis di Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Farhash Wafa Salvador tarik balik kenyataan

IPOH: Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menarik balik kenyataannya berhubung kemasukan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, ke dalam parti itu.

Beliau dalam satu kenyataan ringkas, hari ini, berkata segala kesulitan akibat kenyataan terdahulu itu amat dikesali.

Semalam, beliau mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan kehadiran Syed Abu Hussin ke dalam PKR selepas lebih setahun meninggalkan UMNO.

Farhash Wafa Salvador dilaporkan berkata, Biro Politik pusat sudah menerima permohonan Syed Abu Hussin sebelum ini, namun harus melalui proses penelitian dan keahliannya baru dipersetujui pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Syed Abu Hussin bagaimanapun menafikan perkara itu dengan menegaskan beliau kekal Ahli Parlimen Bebas dan tidak menyertai mana-mana parti.

“Kenyataan media (kononnya) saya menyertai PKR tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah memohon untuk menjadi mana-mana ahli parti selepas keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada 27 Jun tahun lalu.

“Pihak yang mengeluarkan berita tidak benar ini harus bertanggungjawab dan menarik balik laporan itu bagi membersihkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Berita Harian X