Jumaat, 18 Oktober 2019 | 4:53pm
TIMBALAN Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong semasa sidang berhubung isu Projek naik taraf Pasar Chowrasta yang gagal siap dalam tempoh di tetapkan di Jalan Penang, Georgetown. NSTP/Ramdzan Masiam

GERAKAN tampil calon muda di Tanjung Piai

KUALA LUMPUR: GERAKAN bakal menampilkan calon berusia bawah 40 tahun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, 16 November depan.

Langkah itu mengambil kira perkembangan politik semasa yang turut menyaksikan pembabitan generasi muda semakin berminat menceburi politik dan memilih pemimpin.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong, berkata GERAKAN kini pada peringkat mengenal pasti potensi enam calon yang memiliki kriteria muda, profesional dan mampu berkhidmat kepada masyarakat di kawasan terbabit.

Beliau yang juga Pengarah jentera parti itu pada PRK Parlimen Tanjung Piai berkata, separuh daripada calon berkenaan membabitkan pemimpin wanita dari Johor dan pusat.

Dalam senarai enam calon itu, dikatakan antara satu hingga dua calon pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Katanya, sebagai sebuah parti berbilang kaum, GERAKAN turut menyenaraikan calon berbilang kaum dan agama.

“Calon akan ditentukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang mengambil kira pelbagai aspek sebelum diumumkan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya kewajaran bertanding selepas lapan PRK diadakan sejak PRU-14, Tong Keong berkata, GERAKAN semakin yakin selepas mengenal pasti kelemahan parti, selain sudah menyelesaikan program latihan dan kursus untuk pemimpin barisan hadapan.

“GERAKAN kini cukup bersedia menghadapi PRK kesembilan di Tanjung Piai. Kekuatan kami akan ditentukan dengan penerimaan dan sokongan pengundi di kawasan itu.

“Kami menawarkan alternatif kepada rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji dalam manifesto PRU-14, selain kegagalan Barisan Nasional (BN) dalam menangani sentimen perkauman,” katanya.

Penyertaan kali pertama GERAKAN dalam PRK selepas PRU-14 itu akan menyaksikan pertembungan sekurang-kurang tiga penjuru di Tanjung Piai.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, akibat komplikasi jantung, 21 September lalu.

Allahyarham memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada PRU-14, menewaskan penyandang daripada BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng, dan calon PAS, Nordin Othman.

Berita Harian X