Rabu, 9 Oktober 2019 | 11:48am
Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu sertai PKR. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Permohonan Salleh bukti PKR ada daya penarik - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tindakan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu menyertai PKR membuktikan bahawa parti itu mempunyai daya penarik.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, berkata permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk menyertai PKR masih perlu melalui proses saringan dan pertimbangan parti.

"Itu (permohonan Said Salleh) menunjukkan PKR ada daya penarik dan kita akan pertimbangkan lagi permohonan dia sebab ada sensitiviti.

"Walaupun Perdana Menteri kata tidak ada masalah dengan lompat parti, ada juga yang merasakan bahawa mungkin kita akan melihat apa (tujuan) di sebalik lompat parti ini," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pada Sabtu lalu mengesahkan parti itu menerima permohonan Salleh yang dibuat secara online.

Salleh dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah mulai tahun 1994 hingga 1996. Beliau kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah (2010-2015) serta Menteri Komunikasi dan Multimedia (2015 hingga Mei 2018).

Beliau bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu, tetapi tewas kepada sepupunya daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) Isnaraissah Munirah Majilis.

Salleh Said pernah dilantik sebagai Bendahari UMNO dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah sebelum meninggalkan parti itu pada 12 Disember 2018.

Bagaimanapun, Ketua Cabang PKR Kota Belud, Mustapha Sakmud secara terbuka meminta pimpinan pusat PKR membuat penilaian yang adil sebelum memutuskan permohonan Salleh Said.

Beliau menyifatkan kemasukan bekas pemimpin UMNO itu akan menjadi beban atau liabiliti yang boleh menjejaskan kekuatan PKR.

Berita Harian X