Selasa, 8 Oktober 2019 | 12:33pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke- 14 di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir tolak pelawaan bentuk kerajaan baharu dengan BN

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menolak pelawaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menubuhkan kerajaan baharu dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), PAS serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri berkata, pelawaan itu tidak sesuai dengan keadaan semasa di negara ini yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Kita tidak minat untuk membuat kerajaan baharu. Kita sedar negara kita adalah negara berbilang kaum. Ia tidak sesuai.

“Pihak kerajaan, sejak kita merdeka hingga sekarang mempunyai ahli yang terdiri daripada semua kaum,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, sekiranya Dr Mahathir ikhlas mahu kedudukan Melayu dan Islam dimartabatkan, beliau wajar menubuhkan kerajaan baharu dengan kerjasama BN, PAS dan rakan dari Sabah serta Sarawak.

Beliau bersetuju gesaan Dr Mahathir ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu pada Ahad lalu supaya orang Melayu dan Islam bersatu tetapi tertanya-tanya, penyatuan yang bagaimana diharapkan Perdana Menteri.

Berita Harian X