Isnin, 7 Oktober 2019 | 5:04pm
Mohamed Elias (tengah) melawat ke Pusat Mengundi PRK Parlimen Tanjung Piai di SJKC Pei Chaoo Tanjung Piai. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Elias (tengah) melawat ke Pusat Mengundi PRK Parlimen Tanjung Piai di SJKC Pei Chaoo Tanjung Piai. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Belum ada pihak tampil ambil borang pencalonan PRK Tanjung Piai

PONTIAN: Belum ada mana-mana pihak tampil mendapatkan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, sehingga kini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata pihaknya masih menanti pihak yang berminat bertanding pada PRK berkenaan untuk mendapatkan borang pencalonan.

“Setakat ini masih tiada mana-mana pihak yang tampil. SPR terbuka terhadap sesiapa juga yang berminat mahu menjadi calon untuk datang ke SPR dan mendapatkan borang pencalonan.

“Bagaimanapun, persiapan SPR tetap berjalan lancar dengan 27 pusat mengundi dan sebuah pusat mengundi awal sudah dan akan dilawati hari ini dan esok,” katanya selepas melawat pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Chiao, Kukup, di sini, hari ini.

Mohamed Elias berkata, PRK Parlimen Tanjung Piai juga tidak akan mengganggu pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, ia kerana hari penamaan calon dan mengundi dibuat pada Sabtu di mana cuti hujung minggu di Johor adalah Jumaat dan Sabtu, malah hanya tiga sekolah menengah yang terbabit dijadikan pusat mengundi.

Beliau berkata, SPR juga bersedia menghadapi PRK Parlimen Tanjung Piai dalam keadaan cuaca buruk termasuk hujan lebat dan kemungkinan banjir.

“Persediaan untuk menghadapi cuaca buruk ketika PRK Parlimen Tanjung Piai sudah dibuat, malah Pejabat Daerah Pontian sudah mengadakan mesyuarat bersama beberapa agensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“SPR juga sudah mengambil kira faktor cuaca buruk dengan menyediakan pelan kecemasan malah kita bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Elias berkata, SPR akan menambah baik kemudahan orang kurang upaya (OKU) di Parlimen Tanjung Piai untuk mengundi, termasuk menyediakan landasan khas.

“Kemudahan landasan (ramp) untuk kemudahan OKU mengundi sudah mula diadakan pada PRK Sungai Kandis dan Semenyih, dan di sini ia akan tambah baik malah seramai 887 pengundi OKU Parlimen Tanjung Piai berdaftar akan diletakkan mengundi di saluran satu.

“Seramai 70 pengundi berdaftar berusia lebih 100 tahun Parlimen Tanjung Piai berada dalam daftar undi SPR dengan seorang pengundi paling tua berusia 111 tahun sedang dikesan.

“Bagaimanapun seramai 24 pengundi yang berusia lebih 100 tahun dikesan sudah meninggal dunia dan kita minta waris tampil membuat laporan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Berita Harian X