Jumaat, 27 September 2019 | 6:59pm
Gambar fail, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Gambar fail, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PRK Tanjung Piai, PAS akan berkempen dengan UMNO

MARANG: PAS sedia turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, tanpa mengira siapa calon akan diletakkan Barisan Nasional (BN), termasuk daripada MCA.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata PAS sudah menyerahkan kepada UMNO dan rakan dalam BN untuk menentukan calon kerana Parlimen Tanjung Piai adalah kawasan tradisi BN.

“Kita akan turun walaupun siapa saja mereka letak jadi calon. PAS akan buktikan kerjasama politik yang dijalinkan dengan UMNO,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, PRK Parlimen Tanjung Piai bukan cabaran besar buat barisan pembangkang kerana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, BN kalah tipis kepada calon Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, ditanya mengenai pertimbangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menerima calon berusia 18 tahun untuk bertanding pada PRK Tanjung Piai kali ini, beliau mengalu-alukan calon muda turut sama pada PRK itu nanti.

Katanya, selain ketokohan, calon muda perlu mempunyai ilmu dan integriti.

“Ketokohan ini tidak terikat dengan umur, ada yang umur muda, tetapi bijaksana. Jika usia tua, namun tiada kebijaksanaan, ia tiada erti apa-apa.

“Selain itu, ilmu dan integriti juga perlu diambil kira. Dua sifat ini penting dan insya-Allah, jika menang boleh jadi pemimpin,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung di Hospital Pontian, Johor, kira-kira jam 6 pagi pada 21 September lalu.

Dr Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi terbabit pada PRU-14.

Beliau menang dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Berita Harian X