Jumaat, 27 September 2019 | 2:32pm
Penganalisis politik, Azmi Hassan. NSTP/Owee Ah Chun.
Penganalisis politik, Azmi Hassan. NSTP/Owee Ah Chun.

Tempoh kempen 14 hari paling sesuai - Penganalisis politik

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran mengekalkan tempoh kempen 14 hari pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, sebagaimana dilaksanakan dalam enam PRK sebelum ini.

Tempoh itu disifatkan tidak terlalu lama seperti 21 hari ditetapkan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia, selain mengambil kira keperluan parti politik yang memiliki akses terhad dalam berkempen.

Penganalisis politik, Azmi Hassan, berkata tempoh kempen yang terlalu panjang tidak sesuai dalam suasana politik agak panas apabila sembilan PRK, termasuk Tanjung Piai, diadakan dalam tempoh kurang dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, beliau berkata, jika mengambil kira tempoh minimum berkempen 11 hari, kemungkinan timbul protes daripada parti pembangkang yang memiliki saluran komunikasi terhad.

“Hakikatnya, tempoh berkempen 21 hari adalah terlalu lama, manakala 11 hari mungkin terlalu pendek bagi parti politik.

“Oleh itu, saya berpendapat 14 hari adalah berpatutan demi memberi keadilan kepada semua pihak, iaitu kerajaan, pembangkang dan paling penting pengundi,” katanya ketika dihubungi.

SPR dijangka menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian serta tempoh berkempen bagi PRK Parlimen Tanjung Piai pada Selasa ini.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, Sabtu lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memenangi kerusi itu pada PRU-14 dengan majoriti 524 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Dr Md Farid memperoleh 21,255 undi, menewaskan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng yang mendapat 20,731 undi, dan calon PAS, Nordin Othman yang meraih 2,962 undi.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, Singapura menetapkan tempoh berkempen minimum sembilan hari dengan alasan rakyat republik itu mampu memperoleh maklumat daripada sumber lain, termasuk Internet.

Namun, beliau berkata, tempoh berkempen di negara jiran itu sering mendapat bantahan parti pembangkang dengan mendakwa Parti Tindakan Rakyat (PAP) campur tangan dalam membuat keputusan berkenaan.

“Justeru, saya berpendapat 14 hari adalah tempoh terbaik untuk pengundi di negara ini memperoleh maklumat lengkap semua parti yang bertanding,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman, turut meminta SPR mempertimbangkan tempoh berkempen tidak terlalu lama bagi mengurangkan kos operasi sepanjang PRK berlangsung.

Katanya, tempoh terlalu lama juga akan meningkatkan suhu politik negara, sekali gus mencetuskan polemik tidak berkesudahan.

“Tidak perlu terlalu lama berkempen kerana rakyat disajikan kempen politik yang tidak berkesudahan sejak PRU lalu hingga sekarang,” katanya.

Untuk rekod, SPR membelanjakan RM1.4 juta untuk PRK DUN Sungai Kandis yang berlangsung pada 4 Ogos tahun lalu, manakala lebih RM3 juta bagi Seri Setia dan Balakong yang diadakan serentak pada 8 September tahun lalu.

PRK Parlimen Port Dickson yang diadakan pada 13 Oktober tahun lalu pula membabitkan kos RM3.6 juta, diikuti Parlimen Cameron Highlands (RM3.5 juta), DUN Semenyih (RM1.8 juta), DUN Rantau (RM1.8 juta) dan Parlimen Sandakan (RM3.1 juta).

Berita Harian X