Khamis, 26 September 2019 | 12:28pm

BERSATU perlu saingi jentera BN, PAS jika mahu menang

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu memastikan jentera kempen pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai mampu menyaingi Barisan Nasional (BN) dan PAS jika mahu mempertahankan kerusi berkenaan.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis, berkata beberapa percaturan lemah yang BERSATU lakukan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti dalam isu pemilihan calon dan gerak kerja kempen adalah antara aspek yang harus ditangani jika mahu memenangi PRK berkenaan.

“Jika PRK itu nanti menyaksikan pertembungan BERSATU dan UMNO seperti di Semenyih, kelebihan jentera kempen UMNO dan PAS pasti tidak dapati disaingi BERSATU apatah lagi jika calon yang dipilih tidak sesuai.

“Di Semenyih, selain jentera kempen yang lemah, tokoh lain dalam BERSATU pula jarang atau langsung tidak turun berkempen. Jika ini berulang di Tanjung Piai, sukar bagi BERSATU untuk menang,” katanya kepada BH, hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat sakit jantung pada Sabtu lalu.

Md Farid yang juga Naib Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada PRU-14 tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng dengan memperoleh 21,255 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 1 Oktober ini untuk menetapkan tarikh pencalonan dan hari pengundian bagi PRK Parlimen Tanjung Piai.

Mujibu yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, BERSATU perlu mengambil kira sentimen dan isu semasa yang melingkari politik negara jika mahu memilih calon untuk bertanding.

Katanya, kesilapan percaturan dan menilai isu semasa negara boleh memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH) seandainya pertembungan yang berlaku dalam PRK itu membabitkan antara BERSATU dan UMNO.

“Jika pertentangan itu di antara BERSATU dan UMNO, ia sentiasa memberikan kelebihan kepada BN.

“Sentimen semasa terutama membabitkan prestasi kerajaan PH sama ada di peringkat pusat atau negeri juga boleh mempengaruhi keputusan pengundi dalam PRK itu nanti,” katanya.

Berita Harian X