Jumaat, 20 September 2019 | 4:27pm
PRESIDEN PAS merangkap Pengerusi Gagasan Sejahtera, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Terlalu awal untuk kerajaan campuran - Hadi Awang

MARANG: Tiada kerajaan campuran antara PAS dan UMNO sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Demikian ditegaskan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang ketika ditanya mengenai syor beberapa pihak supaya PAS dan UMNO mewujudkan kerajaan campuran sebagai bukti keikhlasan kerjasama dua parti, terutama selepas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Hadi berkata, terlalu awal untuk PAS dan UMNO menubuhkan kerajaan campuran kerana kedua-dua parti menjalinkan taawun siyasi yang bermaksud kerjasama, bukan tahaluf siyasi yang bermaksud gabungan dua parti.

“Terlalu awal (untuk kerajaan campuran). Kita tak boleh (wujudkan kerajaan campuran) lagi kerana kerajaan Persekutuan lain, kerajaan negeri pun lain. Kita mula dengan kerjasama dulu, nak berlaku (kerajaan campuran), nanti (tunggu selepas) pilihan raya lah.

“Yang penting ialah taawun siyasi. Taawun ini dalam istilah modennya ialah kerjasama, bukan ‘coalition’ (gabungan) atau tahaluf. Taawun ini kerajaan yang bekerjasama.

“Kita lebih selesa begitu dan tidak terlalu cepat nak jadi kerajaan campuran. Kita lihat pada PRU-15. Boleh jadi kerajaan campuran, boleh jadi kerajaan perpaduan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila, di sini, hari ini.

Hadi bagaimanapun berkata, PAS tidak menolak kemungkinan mewujudkan kerajaan campuran sebelum PRU-15 kerana dalam politik katanya, tiada apa yang mustahil.

“Ia boleh berlaku kerana dalam politik tidak ada yang mustahil. Sering kali dalam politik berlaku lain daripada apa yang kita ramal. Kita boleh buat ramalan saja.

“Cuma lihat kepada perkembangan pilihan raya atau perkembangan yang berlaku sebelum PRU. Kita tak tahu, Wallahu a’lam,” katanya.

Beliau berkata, penerimaan peringkat akar umbi terhadap kerjasama PAS dan UMNO sehingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional sangat baik.

“Akar umbi sangat positif, bahkan proaktif. Proaktifnya ialah aktiviti peringkat akar umbi sudah berlaku dengan sangat pesat di seluruh negara melalui pemeteraian piagam.

“Apa yang penting pada kita ialah kehidupan dalam masyarakat yang bersatu padu, khususnya dalam kalangan umat Islam dan dalam masa sama mengambil kira masyarakat majmuk.

“Itu asas kerjasama yang kita meterai,” katanya.

Berita Harian X