Jumaat, 20 September 2019 | 4:11pm
PENGANALISIS politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain. NSTP/Rohanis Shukri.

'UMNO, PAS jangan terlalu awal fikir soal kuasa'

KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS tidak wajar membangkitkan isu perkongsian kuasa menerusi pembentukan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir mereka ketika Piagam Muafakat Nasional baru dimeterai minggu lalu.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata daripada memfokus isu perkongsian kuasa, adalah lebih baik kepemimpinan kedua-dua parti itu memberi tumpuan kepada pentadbiran dan pencapaian di negeri terbabit.

Beliau yang juga pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, penyatuan ummah perlu memfokus kepada agenda lebih besar, termasuk memberi tumpuan terhadap pentadbiran dan pencapaian di negeri, bukan sekadar soal berkongsi kuasa semata-mata.

“Mereka perlu membuktikan prestasi keempat-empat negeri itu adalah terbaik dan boleh diyakini rakyat. Ini belum apa-apa, sudah fikir soal kuasa (perkongsian kuasa).

“Fokus kepada kerjasama UMNO-PAS dengan mencerakinkan piagam dan bentuk penyatuan ummah dengan lebih jelas.

“Selain itu, apa langkah seterusnya sebagai tawaran baharu penyatuan ummah ini. Agenda permuafakatan nasional juga perlu diperjelaskan,” katanya kepada BH, hari ini.

Justeru, Mohd Izani berkata, UMNO dan PAS perlu membuktikan keberkesanan kerjasama itu dengan masing-masing menjaga negeri yang dikuasai.

“Tidak perlu pun kerajaan campuran buat masa sekarang. UMNO fokus kepada Perlis dan Pahang. PAS jagalah Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Sabtu lalu, pada sidang media selepas pemeteraian Piagam Muafakat Nasional, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyatakan parti itu merancang membawa UMNO menyertai pentadbiran Kelantan dan Terengganu.

Beberapa penganalisis politik sebelum ini turut menyarankan UMNO dan PAS mewujudkan kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan di empat negeri dikuasai mereka bagi membuktikan kemampuan merealisasikan kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kejayaan melaksanakan langkah itu di Perlis dan Pahang yang dikuasai Barisan Nasional (BN) serta Kelantan dan Terengganu ditadbir PAS, akan memberi petunjuk jelas kemampuan kedua-dua parti terbabit bekerjasama dan bukan sekadar politik retorik.

Berita Harian X