Rabu, 18 September 2019 | 6:29pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - NSTP/Asyraf Hamzah

PAS tubuhkan jawatankuasa khas rangka pelan tindakan

KUALA LUMPUR: PAS menubuhkan Jawatankuasa Khas Merangka Pelan Tindakan dan Strategi ke arah merealisasikan Muafakat Nasional yang dimeterai dengan UMNO, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan dianggotai pemimpin tertinggi parti.

“Saya akan bertindak sebagai setiausaha jawatankuasa berkenaan yang ditubuhkan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang di Bintulu, Sarawak, Ahad lalu.

“Jawatankuasa ini akan merangka Pelan Tindakan berdasarkan Piagam Muafakat Nasional dan Memorandum Persefahaman UMNO/PAS yang ditandatangani Presiden UMNO dan PAS untuk dilaksanakan di semua peringkat parti.

“Segala hasil kajian dan rumusan jawatankuasa ini akan terlebih dahulu dibawa ke Jawatankuasa Perunding UMNO/PAS untuk diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan PAS Sabtu lalu antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Elemen berkenaan terkandung dalam piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Berita Harian X