Jumaat, 13 September 2019 | 10:27am
Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) bermula hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - NSTP/Azhar Ramli

HPU UMNO, PAS bermula

KUALA LUMPUR: Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) yang menandakan bermulanya kerjasama dan permuafakatan secara rasmi antara UMNO dengan PAS, bermula hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan pelbagai program digerakkan sayap dua parti berkenaan.

Kemuncak kepada penganjuran HPU selama dua hari bakal menyaksikan piagam kerjasama dua parti itu dimeterai dan diisytiharkan, esok, sebaik saja kedua-dua presiden parti selesai menyampaikan ucapan.

Piagam berkenaan adalah satu dokumen terperinci menggariskan prinsip asas kerjasama, rasional, struktur dan modus operandi kerjasama dirangka menerusi Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal yang masing-masing dianggotai 11 dan lima pemimpin bagi setiap parti.

Dokumen itu bakal memperincikan jawatankuasa berkaitan yang akan melaksana dan merealisasikan kerjasama pada peringkat pusat, negeri hingga peringkat akar umbi.

Buat julung kalinya juga, bendera PAS dikibarkan di PWTC yang menjadi lokasi tetap penganjuran Perhimpunan Agung UMNO saban tahun.

Program hari ini bermula dengan zikir munajat, solat dhuha dan hajat digerakkan Wanita UMNO serta Dewan Muslimat PAS seawal jam 7.30 pagi tadi, sebelum diteruskan dengan program Tadabbur Surah As-Saff oleh pergerakan itu.

Sayap bongsu kedua-dua parti, Puteri UMNO dan Ameerah PAS pula menganjurkan Pentas Anak Muda, manakala Pemuda UMNO serta Dewan Pemuda PAS bekerjasama menganjurkan program Townhall Anak Muda.

Turut diadakan hari ini, Wacana Intelektual Ummah yang digerakkan oleh bahagian penerangan UMNO dan PAS.

Pada sebelah malam pula, diadakan ceramah perdana oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan rakan sejawat daripada PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Berita Harian X