Ahad, 8 September 2019 | 6:35pm
KETUA Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor (dua dari kanan) menerima kotak berisi borang keahlian BERSATU dari Setiausaha BERSATU Bahagian Kimanis, Surayah Ibrahim pada Program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah ke bahagian Kimanis di Membakut, hari ini. - Foto Rafiqah Dahali

BERSATU Sabah tolak politik ekstrem

MEMBAKUT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mahu rakyat terus menjadi benteng dalam menolak sebarang tindakan atau pendekatan yang membawa unsur politik perkauman ekstrem di negeri itu.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor, berkata pihaknya kesal kerana ada pihak di luar Sabah cuba mencetuskan politik perkauman ekstrem.

“Kita kesal dan kecewa apabila baru-baru ini pihak di luar Sabah cenderung mengapi-apikan politik perkauman yang melampau.

“Faktor kaum dijadikan modal politik untuk membangkitkan kemarahan rakyat, sekali gus mengharapkan pulangan dalam bentuk sokongan politik.

“Tidak ada salahnya menjaga kepentingan kaum masing-masing, namun apa yang merisaukan jika setiap perkara dijadikan isu politik perkauman sehingga boleh menggugat perpaduan rakyat,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah ke bahagian Kimanis di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun; Ketua Bahagian BERSATU Kimanis, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ketua Armada BERSATU Sabah, Mohd Isquzawan Israq Arsit.

Pada majlis itu, Hajiji turut menerima borang keahlian menyertai BERSATU daripada ahli di Kimanis dan Membakut.

Beliau berkata, BERSATU Sabah perlu ‘mengeksport’ keharmonian kaum yang wujud di negeri itu sebagai teladan kepada pihak luar dan bukannya membawa masuk politik perkauman ekstrem.

Hajiji berkata, parti itu turut bersedia bertanding jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di Kimanis.

“Sekiranya PRK diadakan di Kimanis, BERSATU harus bersedia. Kita turut mempunyai hasrat bertanding di Kimanis bagi mencapai matlamat menjadi parti dominan di sini.

“Siapa pun calon yang dipilih pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH), BERSATU Sabah sedia untuk membantu. Siapa pun yang dipilih, kita harus akur.

“Perjuangan BERSATU Sabah adalah untuk membela nasib rakyat di negeri ini terutamanya Bumiputera dan pribumi selain menjaga hak kaum yang lain,” katanya.

673 dibaca
Berita Harian X