Sabtu, 7 September 2019 | 2:06pm
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan (tengah) diiringi Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menandatangani plak sebagai tanda Perasmian Seminar Negara Bangsa di UTHM Batu Pahat. - Foto Adi Safri

Peletakan jawatan pengerusi PKR Johor diterima - Anwar

BATU PAHAT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan perbincangan bersama pimpinan parti bagi mencari pengganti jawatan Pengerusi PKR Johor yang baharu, susulan peletakan penyandangnya baru-baru ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya menerima peletakan jawatan Hassan Abdul Karim yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang sebelum ini.

“Dia (Hassan) ambil keputusan meletak jawatan Pengerusi PKR Johor dan saya beri ruang panjang untuk isu ini.

“Saya boleh menerima keputusan Hassan meletak jawatan dan akan berbincang dengan pimpinan mengenai apa yang harus dilakukan selepas ini, iaitu memilih Pengerusi PKR Johor yang baharu,” katanya.


Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap ketika sidang media Perasmian Seminar Negara Bangsa di UTHM Batu Pahat. - Foto Adi Safri

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada seminar ‘Negara Bangsa: Bahasa Melayu - Identiti Negara’ di Dewan Tunku Mahkota Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada sudah mempunyai nama bagi jawatan itu, Anwar berkata ramai calon berkelayakan boleh menggalas tugas itu.

“Calon ramai yang layak, ada 12 ketua cabang di Johor,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, Hassan yang juga peguam dan aktivis rakyat dikatakan menghantar surat kepada Anwar bagi melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Johor.

Disember tahun lalu, Hassan pernah menolak pelantikan itu namun menerima tugas sebagai Pengerusi PKR Johor selepas mendapat sokongan ramai.

Difahamkan, antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan itu ialah Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Ketua Cabang PKR Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR merangkap Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

2596 dibaca
Berita Harian X