Rabu, 4 September 2019 | 12:01pm

Penyatuan UMNO-PAS: Wujud protes senyap akar umbi PAS - AMANAH

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan penyokong PAS berhubung usaha parti pembangkang itu memeterai piagam kerjasama dengan UMNO dalam Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September ini.

Timbalan Pengerusi Biro Dakwah AMANAH, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, berkata protes senyap itu berlaku di hampir seluruh negara berikutan peringkat akar umbi PAS tidak boleh menerima bentuk kerjasama dengan parti yang menjadi lawan sejak 60 tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Meru, berkata ada pihak mendakwa penyatuan ummah itu dilaksanakan tanpa persetujuan akar umbi PAS.

Katanya, walaupun penyatuan UMNO dan PAS diakui dapat mengukuhkan kekuatan di peringkat akar umbi untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH), kekuatan itu bukan satu ancaman besar kepada parti pemerintah.

“Kekuatan itu bukanlah satu ancaman besar kepada PH kerana dari sudut yang lain, ramai akar umbi mereka tidak setuju dengan kerjasama ini, namun hanya berdiam diri.

“Kajian rasmi (mengenai protes dalam diam) tiada... maklumat ini diterima daripada rakan kami dalam PAS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Selangor itu berkata kerjasama dua parti pembangkang itu turut membuktikan dakwaan sebelum ini bahawa wujud ‘kerjasama gelap’ antara UMNO dan PAS sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, AMANAH tidak akan terjejas dengan kerjasama UMNO dan PAS, walaupun ia kelihatan kuat tetapi itulah maksimum kekuatan gabungan parti berkenaan, sedangkan kekuatan AMANAH terus bertambah sejak kerjasama itu berlaku.

“Ini terbukti setiap bulan, ribuan keahlian baharu direkodkan menyertai AMANAH seluruh negara, malah kekuatan AMANAH bertambah dengan kerjasama erat dari rakan komponen PH.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perunding PAS-UMNO, Dr Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata kajian terutama di negeri yang dikatakan ada perselisihan antara akar umbi PAS dan UMNO, mendapati golongan itu menerima baik usaha muafakat antara dua parti berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata penentangan akar umbi dalam isu penyatuan atau muafakat dua parti pembangkang itu hampir sifar.

“Secara kasar, memang kerjasama PAS/Gagasan Sejahtera dengan UMNO/Barisan Nasional boleh dilihat berupaya untuk menumbangkan PH, tetapi PH adalah kerajaan, maka mereka mempunyai kelebihan.

“Sebagaimana ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar PAS baru-baru ini, lonjakan kedua selepas Penyatuan Ummah PAS dan UMNO ialah mengajak pelbagai kaum bersama muafakat yang dimeterai ke arah integrasi nasional,” katanya.

Berita Harian X