Sabtu, 20 Julai 2019 | 6:42pm
Datuk Johari Abdul (kanan) menunjukkan kertas sokongan kepada Presiden PKR pada sidang media selepas selesai Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 di Lexis Hibiscus Port Dickson. - NSTP/Adzlan Sidek

Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri untuk jaga kebajikan rakyat

PORT DICKSON: Penubuhan Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri bukan diwujudkan hanya untuk mengukuhkan kedudukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam parti.

Koordinator majlis itu, Datuk Johari Abdul, berkata tujuan lain penubuhannya adalah untuk mendapatkan komitmen Anwar dan pimpinan parti dalam memberi keutamaan membabitkan kebajikan rakyat dan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah itu berkata, pemimpin di negeri adalah barisan hadapan yang perlu bersemuka dengan rakyat dan perlu menyelesaikannya dengan bantuan pimpinan pusat serta kementerian.

“Setiap negeri mempunyai masalah berbeza dan memerlukan jalan penyelesaian yang berbeza dan majlis akan membantu membawa permasalahan itu kepada pimpinan tertinggi untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada hari kedua Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 di sini, hari ini.

Johari berkata, perancangan untuk menubuhkan Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri dibuat sejak tiga bulan lalu dan kini masa yang sesuai untuk merealisasikannya sebelum terlewat.

Mengenai Pengerusi MPN PKR negeri yang masih belum menandatangani dokumen bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar, beliau berkata ia bukan paksaan serta tidak wajib dan dibuat secara sukarela.

Terdahulu, Johari berkata tiga lagi Pengerusi MPN negeri belum menandatangani dokumen itu iaitu Perak, Selangor dan Sarawak, manakala Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim, menyatakan hasrat untuk meletak jawatan.

Katanya, Perak sudah menyatakan hasrat untuk menandatangani dokumen itu tetapi belum dapat berbuat demikian.

“Selangor dan Sarawak pula saya sudah hubungi tetapi mungkin mereka masih sibuk dengan urusan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang ditanya mengenai peletakan jawatan Hassan pada sidang medianya kemudian berkata, beliau sudah menerima surat peletakan jawatan itu tiga minggu lalu tetapi menolak permohonan itu.

Berita Harian X