Sabtu, 20 Julai 2019 | 12:47pm
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika kunjungan hormat beliau di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

UMNO-PAS bincang isu agihan kerusi selepas meterai piagam kerjasama

KOTA BHARU: UMNO dan PAS akan membincangkan pelbagai isu lebih terperinci, termasuk soal agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas piagam kerjasama antara kedua-dua parti itu dimeterai.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata terlalu awal untuk membincangkan isu agihan kerusi pada masa kini.

“Sekarang kita (PAS-UMNO) di peringkat taawun siyasi iaitu satu kerjasama dipahat dalam piagam yang akan ditandatangani nanti. Terjemahan dalam piagam berkenaan akan berada di peringkat tahaluf siyasi dan ketika itu perkara mikro akan dibincangkan secara teliti.

“Malah, nama baharu pakatan kerjasama antara PAS dan UMNO juga akan diumumkan secara rasmi nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat kunjungan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di kediaman rasmi di JKR 10, di sini, hari ini.

Mengulas kunjungan itu, Ahmad Zahid berkata, pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan itu diatur Perhubungan UMNO dan PAS Kelantan sempena kehadirannya ke negeri itu merasmikan mesyuarat UMNO bahagian di Machang.

“Tidak ada perkara serius dibincangkan, sebaliknya hanya kunjungan hormat. Alhamdulillah hubungan UMNO dan PAS sangat erat bukan sahaja di peringkat negeri dan bahagian, malah di peringkat cawangan akar umbi juga.

“UMNO berterima kasih kepada PAS kerana menerima baik kepimpinan kita di semua peringkat dan kita berharap ini menjadi titik permulaan untuk meraih kejayaan pada PRU-15 nanti,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, PAS menggariskan empat asas ke arah menggerakkan kerjasama politik dengan UMNO, termasuk segala dasar kerjasama kedua-dua parti itu hanya boleh diputuskan oleh jawatankuasa induk dengan restu Majlis Syura Ulama (MSU) serta pucuk pimpinan PAS pusat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia termasuk isu membabitkan pembahagian kerusi dan calon pilihan raya.

Kedua, katanya, kebenaran kepada PAS negeri, kawasan dan cawangan mengadakan program bersama UMNO yang tidak membabitkan dasar mana-mana parti.

Ketiga, memelihara urusan dalaman sebagai hak setiap parti, termasuk tidak membenarkan ahli PAS menyertai program dalaman UMNO dan begitu juga sebaliknya demi mengelak timbul salah faham.

Keempat barisan pimpinan dan ahli PAS boleh menghadiri program UMNO dan rakan kerjasama lain jika membabitkan pengisian sebagai penceramah, ahli panel atau pembentang kertas kerja apabila diminta.

Berita Harian X