Isnin, 8 Julai 2019 | 12:10pm
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Saya gembira di mana saya berada - Khairy

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membayangkan beliau akan kekal dalam UMNO.

Mengulas pelawaan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Khairy berkata:

“Saya gembira berada di mana saya berada sekarang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq menjemput Khairy mengikut jejak langkah bekas pemimpin UMNO sebelum ini yang menyertai BERSATU seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ia susulan kenyataan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu, yang mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO, menyertai BERSATU bagi menguatkan kuasa politik kaum itu yang kini berpecah kepada enam parti.

Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dilaporkan berkata, pelawaan Dr Mahathir yang mahu parti politik Melayu menyertai BERSATU adalah ikhlas.

Berita Harian X