Isnin, 1 Julai 2019 | 9:24am
SAARANI Mohamad
SAARANI Mohamad

Keputusan Ahmad Zahid selaras mandat diberikan perwakilan parti - UMNO Perak

IPOH: UMNO Perak menerima baik keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugas Presiden UMNO, berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad, berkata keputusan Ahmad Zahid itu selaras mandat diberikan oleh perwakilan parti pada peringkat akar umbi kepada beliau sebagai Presiden UMNO.

“Sehubungan itu, semua ahli parti, terutama pimpinan pada seluruh peringkat, hendaklah menghormati dan memberikan sokongan kepada beliau.

“UMNO Perak juga penuh yakin keputusan Ahmad Zahid ini akan membawa kekuatan baharu kepada parti, terutama pada saat UMNO dan PAS sedang rancak menjayakan agenda penyatuan ummah di mana beliau sendiri adalah antara yang pertama merintis jalan ke arah kerjasama dua parti itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Saarani berkata, UMNO Perak juga yakin bahawa dengan sokongan serta kerjasama dalam kalangan pemimpin pada semua peringkat dan ahli parti, UMNO akan kembali menjadi parti kuat serta berpengaruh bagi meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15).

Oleh itu, beliau berkata, UMNO Perak akan terus bekerja keras bersama-sama Ahmad Zahid dan pucuk pimpinan dalam usaha menguatkan parti serta menawan Perak daripada Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Zahid semalam mengumumkan menamatkan cutinya daripada tugas Presiden sejak 18 Disember tahun lalu dan kembali menjalankan tugas Presiden UMNO.

Perkara itu diumumkan Ahmad Zahid ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk.

Berita Harian X