Ahad, 7 April 2019 | 2:21pm
Marzuki (dua dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Puisi “Mahathir Kami Bersamamu” pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

BERSATU Sabah kukuhkan kedudukan WARISAN, PH - Marzuki

KUALA LUMPUR: Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah dengan penyertaan seramai 120,000 ahli pada satu masa bukan ancaman, sebaliknya satu pengukuhan kepada Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata kehadiran parti yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu wadah perjuangan yang mengutamakan rakyat dan pembangunan negara.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, penubuhan BERSATU disambut baik apabila direkodkan sebanyak 120,000 keahlian dalam satu masa yang diterjemahkan sebagai penerimaan dengan hati terbuka oleh rakyat.

“Jumlah kemasukan ahli baharu yang besar perlu dilihat bukan satu ancaman tetapi sebenarnya pengukuhan kepada PH.

“Apabila sesebuah parti, tidak kiralah PKR, DAP ataupun AMANAH (Parti Amanah Negara) sedang mengukuhkan kekuatan maka secara automatik, ia mengukuhkan PH maka begitulah yang sedang berlaku ke atas BERSATU.

“Kemasukan beramai-ramai ke dalam parti jelas menunjukkan perubahan yang ingin dibuat rakyat Sabah dengan menerima BERSATU sebagai wadah perjuangan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Parti Warisan Sabah (WARISAN),” katanya, hari ini.

Beliau mengulas pelancaran BERSATU SABAH yang menyaksikan kehadiran 30,000 orang dan penyertaan 120,000 ahli, semalam.

BH melaporkan Dr Mahathir gembira dan tidak menyangka dengan sambutan luar biasa pada pelancaran BERSATU di Sabah yang membuktikan orang Sabah berminat menyertai parti itu.


Perdana Menteri merangkap Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) serta Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) pada majlis Pelancaran BERSATU Sabah di Penampang, semalam. - NSTP/Edmund Samunting

Rabu lalu, Dr Mahathir menegaskan BERSATU akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan Sabah yang dipimpin WARISAN.

Beliau berkata, kehadiran BERSATU di Sabah bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan merebut mana-mana jawatan.

Terdahulu, Marzuki merasmikan pelancaran buku Kumpulan Puisi, Mahathir, Kami Bersamamu hasil karya Lim Swee Tin sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Buku setebal 87 muka surat menghimpunkan 40 sajak yang digarap dalam tempoh 20 tahun membabitkan pengisian sumbangan dan jasa beliau kepada negara dan rakyat.

Ia yang diterbitkan Universiti Utara Malaysia (UUM) Press dijual dengan harga RM55 senaskhah.

Berita Harian X