Jumaat, 15 March 2019 | 2:58pm
JOHARI Abdul

Pengaruh Anwar mampu beri kelebihan pada PRK Rantau

ALOR SETAR: PKR Kedah yakin pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, bulan depan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, berkata meskipun ada pihak yang menyatakan PKR berdepan laluan sukar pada PRK Rantau, namun beliau optimis kehadiran Anwar mampu memberi saingan kepada parti lawan.

Katanya, rakyat tidak boleh menyamakan kekalahan PH di PRK Cameron Highlands dan Semenyih sebelum ini dan dijadikan kayu pengukur kerana secara tradisi kerusi DUN Rantau ditandingi PKR.

“Sekarang rakyat berada dalam ‘mood’ yang melihat Anwar sebagai pemimpin yang bakal mengambil alih pentadbiran negara, jadi kita ada kelebihan Anwar iaitu individu yang bekerja keras untuk rakyat.

“Kita tidak boleh melihat bahawa kita kalah di Cameron Highlands dan Semenyih (sebagai penanda aras) sebab dua kerusi itu bukan milik PKR kerana di Rantau ini memang kerusi PKR dan rakyat akan memberi sokongan,” katanya pada sidang media selepas program Jelajah MPN di sini, hari ini.

Sebelum ini, PKR mengumumkan Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram, sebagai calon PH bagi PRK Rantau yang dijadual diadakan bulan hadapan.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, berkata bagi tujuan itu, PKR Kedah akan turut menghantar seramai mungkin jentera parti ke PRK Rantau dalam masa terdekat ini, namun perinciannya mengenainya belum dimuktamadkan lagi.

Berita Harian X