Ahad, 10 March 2019 | 1:05pm
Akaun laman sosial Facebook Hajiji Likers memuat naik gambar Hajiji yang ditemani ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun, bersama Muhyiddin dan beberapa individu, dipercayai selepas menghadiri mesyuarat mengenai pelancaran BERSATU Sabah di Kuala Lumpur.

BERSATU dilancarkan di Sabah 6 April - Hajiji

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan dilancarkan di Sabah oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, 6 April depan.

Ia disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor, ketika diminta mengulas berita mengenai pelancaran itu yang tersebar dalam media sosial.

“Ya betul, YAB (Yang Amat Berhormat) Tun M akan lancarkan. Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta kepemimpinan tertinggi parti akan turut hadir,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Semalam, akaun laman sosial Facebook Hajiji Likers memuat naik gambar Hajiji yang ditemani ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun, bersama Muhyiddin dan beberapa individu, dipercayai selepas menghadiri mesyuarat mengenai pelancaran BERSATU Sabah di Kuala Lumpur.

Gambar itu turut disertai keterangan yang mengatakan Hajiji adalah Pengerusi Penaja BERSATU di Sabah, tarikh dan lokasi pelancarannya.

Ketika ditanya sama ada beliau dilantik sebagai Pengerusi Penaja, Hajiji berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Dr Mahathir atau Muhyiddin.

Pada 15 Februari lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU mengumumkan parti itu akan dikembangkan ke Sabah bagi menguatkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

Keputusan itu disambut baik bekas wakil rakyat UMNO diketuai Hajiji yang keluar parti pada Disember lalu dan menyuarakan hasrat mahu menyertai BERSATU.

Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang mengetuai kerajaan negeri turut mengambil pendirian menerima keputusan BERSATU walaupun sebelum ini ia berharap parti itu tidak dikembangkan ke Sabah berdasarkan persefahaman dicapai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketika ini, beberapa bekas wakil rakyat UMNO berstatus Bebas selepas membuat keputusan meninggalkan parti itu.

Selain Hajiji dan Masidi, ADUN lain ialah Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Japlin Akim (Usukan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Yang lain ialah Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran).

Berita Harian X