Isnin, 4 March 2019 | 5:12pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua dari kanan) menerima borang keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Osman Jamal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu. - Foto Khairull Azry Bidin
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua dari kanan) menerima borang keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Osman Jamal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu. - Foto Khairull Azry Bidin

ADUN Balung sertai WARISAN

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Osman Jamal yang keluar UMNO pada Mei tahun Mei, mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN), hari ini.

Beliau yang juga ADUN Bebas, menyerahkan borang menyertai WARISAN kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden WARISAN di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.

Bercakap kepada media, Osman berterima kasih kepada Mohd Shafie kerana menerima hasratnya untuk menyertai parti itu sejak hampir setahun lalu menjadi kenyataan.

“Saya akhirnya balik ke pangkuan parti berbilang kaum dan parti asal Sabah untuk sama-sama membangunkan kawasan Balung. Majoriti pengundi di Balung juga setuju saya menyertai WARISAN,” katanya.

Mengulas mengenai status permohonannya untuk menyertai PKR pada Julai tahun lalu, Osman berkata, permohonan itu diluluskan selepas dimaklumkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 24 Februari lalu.

“Bagaimanapun (sebelum itu) pada 17 Februari lalu, saya sudah membuat keputusan untuk menyertai WARISAN dan seterusnya memaklumkan kepada Ketua Menteri mengenai hasrat ini.

“Saya kemudian balik ke Balung dan bertemu dengan pemimpin PKR di situ untuk menyatakan hasrat menyertai WARISAN dengan majoritinya setuju,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie berkata, hasrat ADUN Balung itu untuk menyertai WARISAN sudah disampaikan kepadanya dalam pertemuan di Istana Negeri pada Mei lalu.

“Osman telah menyatakan hasratnya untuk menyertai WARISAN ketika majlis angkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri pada Mei, hampir setahun lalu.

“Kita tidak mudah terima semua pihak, sebaliknya meneliti terlebih dahulu. Hampir setahun baru kita dapat menerima hasrat beliau untuk menyertai WARISAN.

“Saya yakin Datuk (Osman) sebagai pemimpin yang ada pengalaman dalam beberapa bidang, mampu bersama kita membangunkan negeri ini, selain kawasan Balung,” katanya.

Osman, bekas Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) mewakili UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.

Kerajaan Sabah yang diterajui WARISAN bersama PKR, DAP dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) kini mempunyai 46 kerusi DUN termasuk ADUN Lantikan.

Berita Harian X