Khamis, 28 Februari 2019 | 8:59am
Mengatasi masalah kesesakan di sekolah dan pembinaan sekolah baharu merupakan agenda penting Hasanuddin sejak bergelar Anggota Parlimen Hulu Langat. - Arkib NSTP
Mengatasi masalah kesesakan di sekolah dan pembinaan sekolah baharu merupakan agenda penting Hasanuddin sejak bergelar Anggota Parlimen Hulu Langat. - Arkib NSTP

Atasi kesesakan jalan, sekolah di Semenyih agenda Hasanuddin

SEMENYIH: Pertambahan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berikutan semakin banyak pembinaan perumahan baharu telah menyebabkan kesesakan jalan raya, selain beberapa sekolah juga sesak berikutan jumlah pelajar yang tinggi.

Permasalahan infrastruktur merupakan isu utama yang dihadapi di DUN Semenyih berikutan pertambahan penduduk tidak selari dengan penambahbaikan infrastruktur.

Bagi Anggota Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, mengatasi masalah kesesakan di sekolah dan pembinaan sekolah baharu merupakan agenda penting beliau sejak bergelar Anggota Parlimen Hulu Langat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Semenyih merupakan satu daripada kawasan DUN dalam Parlimen itu selain Dusun Tua.

“Murid perlu belajar dalam keadaan yang selesa agar mereka boleh memahami apa yang diajar oleh cikgu dengan lebih baik. Apa yang berlaku di sini, murid-murid ini diletakkan seramai kira-kira 40 orang dalam satu kelas dan ini menimbulkan rasa tidak selesa kalangan murid.

“Masalah kesesakan murid di sekolah sekitar sini adalah kerana pertambahan penduduk, malah ia juga kerana ramai ibu bapa yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan menghantar anak-anak mereka bersekolah di sini kerana ia terletak di laluan yang sama bagi ibu bapa yang bekerja di Kuala Lumpur,” kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu kepada Bernama di sini.

Hasanuddin berkata, dua sekolah baharu kini dalam pembinaan iaitu sekolah kebangsaan di Taman Pelangi dan sekolah menengah di Bukit Mahkota, dengan kerja-kerja pembinaan sekolah kebangsaan itu sedang berjalan dan dijangka siap pada 2020.

“Kementerian Pendidikan juga memberi jaminan bahawa sebuah sekolah baharu yang mempunyai 42 buah kelas akan dibina dalam masa terdekat di Bukit Mahkota bagi menampung permintaan penduduk sekitar kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, permintaan untuk membina kedua-dua sekolah itu telah beliau bangkitkan pada Persidangan Dewan Rakyat dan berterima kasih terhadap kementerian berkenaan yang memberi jawapan dengan segera.

Dalam hal kesesakan jalan raya, Hasanuddin berkata, beliau juga ada mengutarakan isu itu yang sering berlaku terutamanya pada waktu puncak.

Beliau berkata, masalah kesesakan sering dibangkitkan penduduk di kawasan berkenaan berikutan kawasan DUN Semenyih menjadi pilihan ramai mereka yang bekerja di Putrajaya dan Kuala Lumpur untuk membeli rumah.

“Ada jalan utama di Semenyih ini yang mempunyai tiga laluan kemudian menjadi dua laluan dan satu laluan dan kemudian mempunyai lampu isyarat. Ini telah menjadi faktor kesesakan jalan raya di sini. Hal ini, saya dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih sebelum ini, arwah Bakhtiar Mohd Nor telah membawa isu ini ke peringkat pusat dan negeri.

“Jabatan Kerja Raya telah meneliti isu ini dan setahun dua ini kami akan dapat formula untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Sehubungan itu, Hasanuddin melihat pentingnya pengganti arwah Bakhtiar merupakan individu daripada parti yang sama dengan beliau untuk bekerjasama memastikan keluhan dan masalah rakyat di kawasan didengar kepimpinan kerajaan pusat dan negeri.

“Sebagai MP (Anggota Parlimen) saya boleh membawa perkara ini ke sidang Dewan Rakyat dan perkara yang sama juga boleh dibawa oleh ADUN ke sidang DUN kerana kami berkongsi misi dan visi politik yang sama,” katanya.

Sabtu ini pengundi dalam DUN Semenyih akan memilih wakil rakyat baharu mereka pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, yang diadakan berikutan kematian Bakhtiar yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang merupakan menantu Bakhtiar, Zakaria Hanafi dari Barisan Nasional, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM). – BERNAMA

Berita Harian X