Sabtu, 16 Februari 2019 | 4:51pm
Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen. - Arkib NSTP
Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen. - Arkib NSTP

Usah tergugat kemasukan BERSATU ke Sabah - Mohd Rafiq

MELAKA: Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melebarkan sayapnya ke Sabah tidak wajar menimbulkan rasa tergugat dalam kalangan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Sebaliknya, kemasukan BERSATU itu mampu memperkukuh kepemimpinan kerajaan negeri yang diterajui WARISAN serta PH secara keseluruhannya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU merangkap Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata keputusan MPT parti itu kelmarin bertujuan memberi kekuatan tambahan kepada WARISAN yang diterajui Presidennya yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kita tahu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, WARISAN pada peringkat awal sukar untuk menubuhkan kerajaan negeri sehinggalah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah melompat parti menyokong WARISAN.

“Justeru, dalam konteks PRU-15, PH perlu memperkukuhkan kedudukannya di setiap negeri secepat mungkin termasuklah di Sabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar NSTP hari ini melaporkan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan parti diterajuinya itu akan melebarkan sayap ke Sabah.

Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, kehadiran BERSATU di Sabah adalah untuk menguatkan kerajaan, bukannya menentang kerajaan negeri yang dipimpin WARISAN.

Dalam pada itu, kemasukan BERSATU ke Sabah bakal menyebabkan UMNO ‘berkubur’ di negeri itu berikutan ramai ahlinya dijangka mengikut langkah bekas pemimpin mereka menyertai parti baharu berkenaan.

Difahamkan, lima Ahli Parlimen dan lapan ADUN Sabah yang keluar UMNO pada akhir tahun lalu sudah memohon menyertai BERSATU.

Sementara itu, mengulas mengenai kemasukan bekas pemimpin UMNO ke dalam BERSATU, Mohd Rafiq berkata, BERSATU melalui jawatankuasa penapisan parti yang diterajui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bertanggungjawab menapis keahlian baharu.

“Ini termasuk memastikan setiap calon bebas daripada rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan sebagainya.

“Sudah tentu dalam konteks ini (bekas pemimpin UMNO), kemasukan mereka bukan bermaksud boleh melakukan apa-apa saja tindakan sesuka hati. Menjadi ahli BERSATU bukanlah tiket untuk menghalalkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Bukan semua bekas pemimpin UMNO itu jahat dan terpalit dengan rasuah. Kita percaya, kemasukan sebahagian mereka ke BERSATU akan melemahkan dan melumpuhkan akar umbi UMNO terutamanya di kampung serta dalam kalangan orang Melayu,” katanya.

Berita Harian X