Sabtu, 5 Januari 2019 | 2:59pm
Pengerusi bersama GBS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan. - Foto Khairull Azry Bidin

GBS bincang status bekas ADUN UMNO

KOTA KINABALU: Gabungan Bersatu Sabah (GBS) akan mengadakan mesyuarat dua minggu lagi, antara lain membincangkan status bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di blok pembangkang negeri.

Pengerusi bersama GBS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, ketika dihubungi hari ini, berkata gabungan parti itu dijangka mendengar keputusan ADUN terbabit, sama ada mereka akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Kami akan mengadakan pertemuan dalam 14 hari dan mereka akan beritahu keputusan (kekal Bebas atau sertai BERSATU). Mereka kini Bebas, jadi kita akan lihat apa yang mereka putuskan,” katanya.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata beliau tiada bantahan setakat ini sekiranya bekas ADUN UMNO itu menyertai BERSATU, walaupun ia parti diasaskan di Semenanjung.

“Kami tidak mahu UMNO (di Sabah) tetapi sudah tentu kami menggalakkan mereka menyertai parti tempatan. Bagaimanapun, jika itu pilihan mereka (sertai BERSATU) buat masa ini setelah meninggalkan UMNO, maka biarlah,” katanya.

GBS membabitkan gabungan empat parti iaitu STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta UMNO Sabah yang membentuk blok pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Pada 13 Disember lalu, Jeffrey dilaporkan berkata, blok itu kekal sebagai pembangkang di Sabah, tetapi pada masa sama mesra dengan kerajaan Pusat.

Sembilan daripada 10 ADUN Sabah dan lima daripada enam ahli Parlimen Sabah meninggalkan UMNO untuk menjadi wakil Bebas.

Sebelum ini, ada laporan menyebut semua bekas wakil rakyat UMNO terbabit yang diketuai bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor akan menyertai BERSATU, malah ada gambar menunjukkan mereka mengedarkan borang keahlian parti diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Berita Harian X