Selasa, 1 Januari 2019 | 2:41pm
MOHAMED Azmin Ali
MOHAMED Azmin Ali

Azmin perlu adil dalam mengkritik Anwar - Syed Badli

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sepatutnya tidak mengamalkan sikap ‘double standard’ ketika mengkritik keputusan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pelantikan jawatan utama parti itu.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman, berkata apakah kritikan yang dilontar Mohamed Azmin sebenarnya menunjukkan beliau tidak suka Anwar melantik Rafizi yang dianggap ‘puak’ penentang Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Beliau juga mempersoalkan kenapa Mohamed Azmin tidak mengkritik Anwar yang melantik beberapa individu daripada kem Ahli Parlimen Gombak itu, termasuk Lee Khai Loon yang dilantik memegang jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) walaupun tewas dalam pemilihan lalu.

“Mohamed Azmin tidak sepatutnya pergi ke media sebab beliau timbalan presiden. Beliau patut terus berbincang dan bertanya menggunakan saluran parti mesyuarat MPP, mesyuarat Biro Politik Keadilan dan banyak lagi mesyuarat membabitkan pimpinan utama. Boleh tanya dalam itu.

“Mungkin Mohamed Azmin agaknya tidak berapa suka kumpulan yang menentangnya berada dalam ‘line up’, maka beliau kritik secara terbuka. Kalau kita perhatikan ‘line up’ pelantikan, bukan semata-mata pro Rafizi sahaja diambil. Ada juga pro Azmin.

“Contohnya, ketua penerangan, Shamsul Iskandar (Mohd Akin), ketika pemilihan hari itu bertanding Naib Presiden bawah (kem) Azmin dan tewas. Jadi Anwar lantik beliau.

“Begitu juga Khai Loon, Dr Edmund Santara...ini semua pasukan bertanding bawah bendera Azmin ketika pemilihan tetapi mereka diangkat atas kapasiti serta kebolehan mereka. Azmin tidak mahu bantah pula,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mohamed Azmin, dalam satu kenyataan sebelum ini, meminta Anwar meneliti semula pelantikan jawatan utama parti dengan mengambil kira pandangan akar umbi.

Menurut beliau, pelantikan diumumkan tidak mencerminkan prinsip perwakilan yang adil dan saksama terhadap aspirasi ahli dan tidak akan membantu parti untuk terus maju.

Mengulas dakwaan pelantikan dibuat dengan mengabaikan pandangan akar umbi, Syed Badli berkata Anwar melakukan konsultasi sebelum setiap keputusan dibuat.

“Saya percaya Anwar mengamalkan konsep inklusif iaitu mempertimbangkan semua pandangan sebelum melakukan pelantikan dan saya juga percaya beliau bertemu semua pihak.

“Jadi, tujuan Anwar adalah untuk mengimbangi politik (pengaruh kem Azmin dan Rafizi),” katanya.

Berita Harian X