Ahad, 30 Disember 2018 | 6:21pm
PENGERUSI PKR Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor - Foto FATHIL ASRI
PENGERUSI PKR Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor - Foto FATHIL ASRI

Cukup-cukuplah pertikai Anwar - Suparadi

KOTA BHARU: Semua kepemimpinan dan ahli PKR digesa menghentikan pertikaian berhubung pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN), sebaliknya memberi tumpuan ke arah memperkukuhkan parti.

Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, berkata tindakan itu seolah-olah tidak menghormati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan keputusan itu dibuat mengikut perlembagaan parti.

Ketua Cabang PKR Tanah Merah itu berkata, kepercayaan perlu diberikan kepada Anwar untuk memperkukuhkan parti kerana beliau yakin semua pihak mahu melihat PKR maju.

“Mengenai pelantikan Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden, Presiden parti sudah mendapatkan pandangan daripada banyak pihak dalam mesyuarat pertama MPP pada Jumaat lalu walaupun beliau mempunyai hak melantik mana-mana individu berasaskan perlembagaan parti.

“Presiden melihat dari sudut lebih besar kerana Rafizi adalah seorang tokoh yang berwibawa dan banyak memberi sumbangan kepada parti. Kalau beliau (Rafizi) berada di luar, dia tidak boleh memberi sumbangkan kepada parti secara berkesan.

“Pemilihan tempoh hari cuma pertandingan dalam keluarga, bukannya dengan parti lawan. Jadi, sudah pasti ada menang dan kalah. Kalau kalah bukan bermakna tidak layak menjadi pemimpin kerana ketokohan bukan diukur dengan undian tetapi sumbangan serta gerak kerja,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Portal berita semalam melaporkan terdapat pemimpin parti di negeri itu menyifatkan lantikan MPP parti itu bagi penggal 2018-2021 adalah bukti Anwar sudah ‘hilang taring’ dan tidak memahami aspirasi akar umbi.

Dalam pada itu, Mohamad Suparadi menasihatkan supaya jangan melihat pelantikan itu sebagai noktah kehidupan, sebaliknya memandang ke arah masa depan dengan melakukan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Cukup-cukuplah mengeluarkan kenyataan negatif, sebaliknya kita harus bersama untuk melaksanakan kerja bagi memperkuatkan parti. Kita tidak mahu amal budaya berpuak-puak kerana amalan itu akhirnya merugikan parti.

“Saya juga harap semua anggota PKR Kelantan bergerak bersama untuk memperkuatkan parti di negeri ini bagi berdepan perjalanan yang masih jauh. Kalau ada masalah, biarlah kita selesaikan secara adik-beradik tanpa memburukkan nama parti sendiri,” katanya.

Berita Harian X