Ahad, 30 Disember 2018 | 1:57pm
BEKAS MPP PKR, Badrul Hisham Shahrin.
BEKAS MPP PKR, Badrul Hisham Shahrin.

Anwar perlu tampil beri penjelasan - Badrul Hisham

SHAH ALAM: Seorang bekas pemimpin PKR menggesa Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tampil memberi penjelasan sama ada pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dibuat secara musyawarah atau sebaliknya.

Bekas MPP PKR, Badrul Hisham Shahrin, berkata Anwar perlu meleraikan kekeliruan dalam kalangan ahli parti selepas pelantikan MPP dibantah oleh Timbalan Presidennya sendiri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ahli akar umbi perlu diberi penjelasan. Apabila Timbalan (Presiden) bersuara secara terbuka mempertikaikan keputusan (Presiden), sudah tentu pelbagai persoalan timbul.

“Timbul persoalan adakah PKR tidak ada proses musyawarah? Kenapa tidak dibincang secara tuntas dalam MPP yang menang bertanding atau biro politik?

“Namun, jika keputusan dibuat secara musyawarah, tetapi Timbalan bising di luar, maka Timbalan gagal dalam berorganisasi,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dibuat Mohamed Azmin yang menggesa Anwar menilai semula pelantikan jawatan utama kepemimpinan parti.

Mohamed Azmin berkata pelantikan itu tidak mencerminkan prinsip ‘perwakilan yang adil dan saksama’ terhadap aspirasi ahli parti.

Jelas Mohamed Azmin, pelantikan MPP juga harus dibuat berdasarkan merit dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP.

Ia susulan pelantikan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang tewas dalam pemilihan parti November lalu sebagai naib presiden dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipilih semula sebagai Setiausaha Agung.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard, berkata semua pihak sepatutnya mempertahankan amalan demokrasi yang menjadi asas kekuatan PKR.

“Pengukuhan demokrasi digambarkan dengan keberanian proses pemilihan parti yang mana semua ahli boleh mengundi pimpinan tertinggi menerusi sistem satu ahli satu undi, bukan hanya bergantung sistem perwakilan.

“Seharusnya ia menjadi asas semangat dan kekuatan parti. Kuasa presiden seharusnya diperkukuh dengan kekuatan demokrasi yang parti pelopori,” katanya.

Berita Harian X