Sabtu, 29 Disember 2018 | 4:36pm
Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan ARMADA yang pertama sempena Perhimpunan Agung BERSATU, hari ini. Turut sama Timbalan Ketua ARMADA BERSATU, Mohd Aizad Roslan (kiri) dan Penolong Setiausaha ARMADA BERSATU, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi. - Foto BERNAMA

Nyahkan puak cuba timbul perpecahan

PUTRAJAYA: Puak yang sengaja menimbulkan perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) disifatkan sebagai ‘lahanat’ yang perlu dinyahkan.

Timbalan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Muhammad Aizad Roslan, berkata pelbagai cerita ditimbulkan puak berkenaan semata-mata cuba mewujudkan perpecahan dalam parti.

“Saya memberi amaran kepada lahanat dalam parti, nyah daripada parti ini jika berniat untuk membuat perpecahan dalam parti.

“ARMADA hanya satu kem iaitu kem ARMADA. Tidak usah nak wujudkan perpecahan dalam BERSATU. Kita mahu melihat dan tunjukkan bahawa anak muda dalam ARMADA membawa politik matang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ARMADA 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Muhammad Aizad berkata, jawatan yang diberikan dalam parti perlu dipikul dengan amanah, baik dan bersih.

“Ada yang membuat cerita kononnya Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir nak langgar Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ada juga cerita kononnya saya nak langgar Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kenapa nak diadu-dombakan hubungan kita yang baik? Kenapa nak dipecah-belahkan kepemimpinan parti kita? Dah diberi jawatan, buatlah kerja, bukan adu-domba,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin di peringkat bahagian supaya tidak meminggirkan Ketua ARMADA di bahagian masing-masing.

“Saya memohon ketua bahagian di seluruh Malaysia, ada segelintir yang saya tidak faham kenapa benci Ketua ARMADA di bahagian yang berkorban masa pilihan raya lalu.

“Mungkin mereka rasa tercabar atau mungkin nanti rakan-rakan (Ketua ARMADA bahagian) ini nak lawan mereka,” katanya.

Berita Harian X