Sabtu, 29 Disember 2018 | 3:56pm

Srikandi sasar 200,000 ahli akhir 2019

PUTRAJAYA: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yakin keahlian sayap itu mampu mencecah 200,000 orang pada penghujung tahun depan.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata pelbagai gerak kerja sedang dilakukan bagi menambah keahlian sayap parti itu.

“Buat masa ini, Srikandi hanya memiliki 70,000 ahli sejak penubuhannya pada 5 April 2017 dan untuk mendapat ahli, kena ada kepercayaan dan yakin dengan perjuangan kita.

“Berdasarkan gerak kerja yang dilakukan terutama selepas kita menjadi kerajaan, kita menyasarkan keahlian Srikandi bakal bertambah sehingga 200,000 orang menjelang hujung tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Srikandi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata, pemimpin perlu meyakinkan rakyat bahawa mereka sudah membuat pilihan terbaik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita sebagai pemimpin kerajaan kena buktikan bahawa kita boleh beri khidmat terbaik kepada rakyat.

“Sebab itu kita kena lebih kreatif dan inovatif walaupun dengan kewangan terhad, kita boleh berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Rina pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Srikandi di PICC di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X