Jumaat, 28 Disember 2018 | 12:14pm
LAJIM Ukin. - NSTP/Edmund Samunting

Harapan Rakyat hantar pemerhati ke perhimpunan agung BERSATU

KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menghantar seramai 10 pemimpinnya bagi mengikuti perhimpunan agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Putrajaya yang bermula esok.

Presiden Harapan Rakyat, Datuk Lajim Ukin, mengesahkan beliau sendiri akan mengetuai rombongan partinya pada perhimpunan itu sebagai pemerhati.

“Majlis tertinggi parti mengadakan mesyuarat semalam untuk memaklumkan mengenai penyertaan kami dalam persidangan BERSATU pada kali ini.

“Kita hadir sebagai pemerhati selaku rakan dalam Pakatan Harapan (PH) untuk memenuhi jemputan BERSATU,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kehadiran Harapan Rakyat pada persidangan itu disertai majlis penyerahan borang kemasukan ke dalam BERSATU, Lajim berkata, agenda itu tiada dalam jadual mereka.

Sementara itu, Lajim berkata, pihaknya tidak terbabit dengan nasihat supaya pemimpin yang ingin membawa masuk BERSATU ke Sabah berbincang dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Katanya, kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin, baru-baru ini mengenai perkara itu hanya merujuk kepada bekas pemimpin UMNO diketuai Datuk Hajiji Noor.

“Kita tidak terbabit dengan perkara itu, namun kita juga berpendirian selaku rakan kepada PH, Harapan Rakyat juga sedia untuk memaklumkan kepada WARISAN mengenai hasrat membawa BERSATU ke Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lajim berkata, beliau sudah menemui bekas pemimpin UMNO Sabah yang keluar parti baru-baru ini termasuk Hajiji mengenai usaha membawa BERSATU ke Sabah.

Katanya, ia selaras usaha menyatukan pemimpin tempatan di Sabah melalui BERSATU demi kepentingan rakyat Bumiputera Islam dan bukan Islam di negeri ini.

“Yang penting kita perlu bersatu tidak kira siapa pemimpin (mengetuai BERSATU di Sabah),” katanya.

Lajim sebelum ini menjelaskan pihaknya sedia membubarkan Harapan Rakyat untuk menyertai BERSATU, selain menganggap tidak timbul isu larangan terhadap parti itu mengembangkan sayap ke Sabah.

WARISAN sebelum ini menjelaskan parti itu mempunyai persefahaman dengan BERSATU untuk tidak mengembangkan sayap ke Sabah, namun mengakui orang ramai boleh menjadi ahli BERSATU tanpa perlu membuka cawangan atau bahagian di negeri ini.

Berita Harian X