Isnin, 24 Disember 2018 | 3:03pm
Dr Noor Azmi menyangkal dakwaan Mohamed Khaled yang menyifatkan semua bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyertai BERSATU sebagai virus. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Dr Noor Azmi menyangkal dakwaan Mohamed Khaled yang menyifatkan semua bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyertai BERSATU sebagai virus. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Kenyataan Khaled hanya andaian - Dr Noor Azmi

IPOH: Bekas Ahli Parlimen UMNO yang baru menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menyangkal dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled yang menyifatkan semua bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyertai BERSATU sebagai virus.

Ahli Parlimen Bagan Seri itu berkata, apa yang dinyatakan Mohamed Khaled itu hanyalah andaian dan pandangan peribadi beliau.

“Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri akan menapis permohonan setiap individu yang akan menyertai BERSATU sebelum diluluskan.

“Jika ada masalah, permohonan mereka untuk menyertainya tidak akan diluluskan, malah tidak akan diterima,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamed Khalid dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam dipetik berkata, bekas wakil rakyat UMNO yang keluar meninggalkan parti itu disifatkan sebagai bukan pejuang, sebaliknya terdesak mengejar peluang dan tindakan keluar parti jelas menunjukkan sikap sebenar pemimpin berkenaan.

Ditanya sama ada kenyataan Mohamed Khaled itu akan memberikan kesan terhadap penyertaan Ahli Parlimen UMNO lain ke dalam BERSATU, Dr Noor Azmi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Bab urusan UMNO ini, saya sebenarnya tak nak komen, sebab saya dah pun hijrah keluar (dari UMNO),” katanya.

Dr Noor Azmi sah menyertai BERSATU pada 28 November lalu selepas lima bulan menjadi wakil rakyat Bebas.

Beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menerima kad keahlian daripada Dr Mahathir yang juga Pengerusi parti itu.

Sejak tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), seramai 17 Ahli Parlimen UMNO bertindak keluar parti dengan tiga daripadanya menyertai BERSATU iaitu Dr Noor Azmi; Ahli Parlimen Jeli yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Ketua Puteri UMNO yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Berita Harian X