Ahad, 23 Disember 2018 | 6:41pm
AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Tarik diri untuk beri peluang kepada pemimpin lain

JOHOR BAHRU: Peletakan jawatan sebagai Pengerusi PKR negeri bertujuan memberi peluang kepada pemimpin baharu menggalas jawatan itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata keputusan meletak jawatan sebagai Pengerusi PKR negeri dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara.

Katanya, ia tiada kaitan dengan dakwaan tidak berpuas hati dengan kepimpinan yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

“Keputusan saya tiada kena mengena dan membabitkan mana-mana pihak. Ia tiada kaitan dengan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lompat parti, itu bukan masalahnya.

“Saya berundur dari jawatan itu kerana mahu memberi laluan kepada pimpinan baharu yang lebih menonjol pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Kembali Ke Sekolah anjuran Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru Zon Permas dan Johor Jaya, di sini, hari ini.

Hassan menjawab soalan sama ada meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen dan ADUN Barisan Nasional (BN) yang diterima masuk ke dalam parti komponen PH seperti BERSATU.

“Saya sudah jelaskan mengapa saya keluar, lagipun sebelum ini saya sudah pegang jawatan Pengerusi dan Naib Pengerusi PKR Johor.

“Di Johor, PKR ada enam Ahli Parlimen lain bersama lima ADUN, saya lihat mereka berkaliber dan boleh memimpin, saya hanya orang biasa dan sudah tiba masanya untuk serahkan kepada mereka yang lebih layak,” katanya.

Menurutnya, walaupun tidak mengekalkan jawatan beliau tetap memberi sokongan kepada pemimpin parti yang dipilih.

Terdahulu seramai 100 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan sekitar Pasir Gudang menerima menerima sumbangan kelengkapan sekolah bernilai RM80 setiap seorang.

Berita Harian X