Ahad, 23 Disember 2018 | 5:19pm
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Zain Ahmed
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Zain Ahmed

Terima kasih BERSATU - Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR: Bekas wakil rakyat UMNO yang keluar meninggalkan parti itu disifatkan sebagai bukan pejuang sebaliknya terdesak mengejar peluang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tindakan keluar parti jelas menunjukkan sikap sebenar pemimpin berkenaan.

“Mereka bukan pejuang. Mereka adalah golongan yang tewas dalam perjuangan. Tiada sekelumit nilai perjuangan yang boleh kita teladani daripada mereka.

“Yang benar dalam perjuangan ialah mereka yang mengambil tanggungjawab. Yang bertahan teguh pada prinsip dan pendirian.

“Biar apa pun kesukaran dan cabarannya. Mana mungkin kepercayaan yang dipegang selama enam dekad, berubah dan menjadi tohor dalam enam bulan selepas tewas,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Khaled berkata, ahli parti tidak perlu bimbang dengan tindakan pemimpin yang meninggalkan UMNO sebaliknya harus bangkit dan menjalankan tanggungjawab bersama.

Katanya, UMNO perlu meneruskan langkah ke hadapan tanpa meratapi pemergian mereka yang sudah tidak lagi sudi bersama parti.

“Kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada anda. Terimalah ahli UMNO yang berpindah ke BERSATU sebagai hadiah ikhlas dari kami semua.

“Percayalah, pemergian ahli UMNO dan kemasukan mereka ke dalam BERSATU tidak akan membuatkan kami hilang tidur, sebaliknya mereka pasti akan membuatkan kalian berjaga malam,” katanya.

Sejak tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), seramai 17 Ahli Parlimen UMNO bertindak keluar parti dengan tiga daripadanya menyertai BERSATU.

Berita Harian X