Khamis, 20 Disember 2018 | 2:47pm
SAIFUDDIN Nasution. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Hormat keputusan presiden lantik pengerusi MPN - Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA: Seluruh ahli PKR perlu menghormati keputusan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melantik jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata apa yang sudah diputuskan presiden parti bukan keputusan peribadi, sebaliknya selepas melakukan rundingan dan kesepakatan bersama ketua cabang negeri selama lebih sebulan.

”Mengikut perlembagaan parti, hal melantik pengerusi negeri, presiden haruslah melakukan pelantikan selepas berunding dengan ketua cabang.

“Sejak kongres berakhir, Anwar sudah mengambil masa selama lebih sebulan untuk berunding dengan ketua cabang.

Jadi adakah dia sudah berunding? Ya. Dengan semua ketua cabang? Ya. Dari Perlis hingga Sabah? Ya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Program Transformasi Peniaga dan Penyerahan Kenderaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, mahu anggota parti di semua peringkat menghormati proses dan keputusan dibuat presiden.

“Kalau terus dipertikaikan ia jadi tidak cantik, justeru ia jadi tanggungjawab semua orang untuk menghormati keputusan itu dan tidak timbul masalah, malah parti tidak perlu pelan pemulihan dan sebagainya kerana semua (syarat) itu sudah dipenuhi," katanya.

Isnin lalu, Nurul Izzah Anwar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi MPN Pulau Pinang.

Pada hari yang sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengumumkan secara rasmi meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi MPN Johor berkuat kuasa hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau sudah berjumpa Nurul Izzah yang juga wakil rakyat Permatang Pauh dua hari lalu yang sudah menyatakan hasratnya meletak jawatan sebagai Pengerusi Negeri Pulau Pinang.

"Sokongan daripada 13 ketua cabang di Pulau Pinang untuk Nurul Izzah adalah kuat, jadi tidak ada banyak pilihan untuk Anwar selain melantik Nurul Izzah.

“Kalau dia (Nurul Izzah) ubah keputusan itu lebih baik. Kalau itu tidak berlaku saya percaya presiden akan meneliti semula kalau ada keperluan tapi buat masa sekarang Nurul Izzah sudah buat ketetapan untuk tidak menerimanya dan tidak bercadang untuk ubah fikiran. Begitu juga di Johor," katanya.

Berita Harian X