Rabu, 19 Disember 2018 | 12:22pm
GAMBAR fail, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin ketika sidang media mengenai anggota Bomba dan Penyelamat Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN). - Foto BERNAMA
GAMBAR fail, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin ketika sidang media mengenai anggota Bomba dan Penyelamat Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN). - Foto BERNAMA

Zuraida nafi khabar angin sertai BERSATU

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, menafikan khabar angin beliau akan lompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, berkata beliau bukan salah seorang Ahli Parlimen PKR, yang didakwa akan keluar parti bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata penafian itu turut membuktikan beliau tidak akan membuat pengumuman menyertai BERSATU, dalam masa terdekat sekali gus, menafikan turut serta dalam Mesyuarat Agung BERSATU, 29 Disember ini.

“Tidak betul (lompat parti menyertai BERSATU),” katanya ringkas, ketika dihubungi, di sini.

Zuraida, antara pemimpin kanan PKR, yang diketahui umum sangat rapat dan menyokong kepemimpinan Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Sejak dua hari lalu, spekulasi Azmin bersama 20 orang Ahli Parlimen akan keluar PKR menyertai BERSATU, terus menjadi viral dan bualan netizen di media sosial, susulan ramai Ahli Parlimen keluar UMNO.

Pada 12 Disember lalu, lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain 21 Ketua Bahagian di Sabah diketuai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta.

Dua hari berikutnya, dalam temubual khas bersama NSTP, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengumumkan keluar parti.

Turut bersama beliau, lima lagi Ahli Parlimen mengumumkan keluar UMNO adalah, Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Berita Harian X