Selasa, 18 Disember 2018 | 1:01pm
GAMBAR viral menunjukkan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor (kanan) memegang borang keahlian BERSATU.

Bekas pemimpin UMNO Sabah sertai BERSATU?

KOTA KINABALU: Spekulasi bertiup kencang bahawa kumpulan bekas pemimpin UMNO Sabah bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), apabila difahamkan wujud pertemuan dalam kalangan mereka, di sini, semalam.

Sumber NSTP memaklumkan, pertemuan dalam kalangan beberapa bekas pemimpin UMNO Sabah di sebuah hotel di ibu negeri itu turut disertai bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor.

NSTP dimaklumkan, pertemuan itu membincangkan pelbagai isu termasuk difahamkan berkaitan penyertaan mereka ke dalam BERSATU, yang dikatakan akan direalisasikan sebelum akhir tahun ini.

Beberapa keping gambar pengagihan borang keahlian parti dalam kalangan bekas pemimpin UMNO itu, turut tersebar menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp, semalam.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Masidi Manjun ketika dihubungi NSTP, berkata ia hanya pertemuan biasa sahaja.

“Kami belum menyertai BERSATU dan kami semua masih berstatus wakil rakyat Bebas,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp ketika ditanya mengenai pertemuan itu.

Mengenai gambar yang menjadi viral menunjukkan Hajiji bersama ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih memegang borang keahlian BERSATU, Masidi berkata ia hanya sekadar gambar.

Pada 12 Disember lalu, Hajiji bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan UMNO dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Mereka termasuk sembilan ADUN iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Isnin (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Masidi (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama ialah empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Mereka juga menyatakan sokongan terhadap kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang dipimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat permintaan untuk parti itu melebarkan sayap ke Sabah susulan tindakan 14 wakil rakyat dan pemimpin kanan UMNO negeri itu bertindak keluar parti.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking, berkata parti itu yakin Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin kekal berpegang dengan janji mereka untuk tidak membawa masuk parti itu ke Sabah seperti dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Semalam, Dr Mahathir berkata BERSATU tidak akan melebarkan sayapnya ke Sabah dan penduduk Sabah boleh pilih parti mereka sendiri.

Berita Harian X