Isnin, 17 Disember 2018 | 8:33pm
HASSAN Karim - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

Pelantikan Hassan Karim sah, selaras perlembagaan PKR

JOHOR BAHRU: PKR Johor percaya pelantikan Hassan Karim sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor adalah sah dan selaras dengan Fasal 21.8 Perlembagaan parti.

Timbalan Pengerusi MPN PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse, berkata, pelantikan Hassan tidak patut dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Katanya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan dengan kesemua Ketua Cabang di Johor, Jumaat lalu dan hasil perjumpaan itu, kesemua ketua cabang mengemukakan pilihan mereka siapa patut memegang jawatan Pengerusi MPN Johor.

Beliau berkata, selepas Hassan diumumkan sebagai Pengerusi MPN Johor pada malam itu, tidak ada mana-mana pihak yang mempertikaikan sama ada Hassan adalah pilihan majoriti atau tidak kerana ketua cabang di Johor sendiri tahu siapa yang mereka pilih.

“Maka, kenyataan Latheefa Koya (Ahli Jawatankuasa Pusat PKR) yang mempertikaikan keputusan proses pemilihan langsung tidak berasas dan tidak disokong oleh apa-apa bukti. Kenyataan sebegini seharusnya diambil dengan ‘pinch of salt’, ” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Wee Tse berharap Hassan menarik balik keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi MPN Johor dan terus menerajui PKR Johor kerana beliau mempunyai sokongan kuat daripada akar umbi dan cabang.

Beliau juga meminta Nurul Izzah Anwar terus kekal sebagai Pengerusi MPN PKR Pulau Pinang dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat kerana beliau adalah seorang pemimpin yang mempunyai visi dan misi.

Media hari ini melaporkan Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nurul Izzah dalam kenyataannya berkata, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti.

Hassan turut mengumumkan secara rasmi meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Johor berkuat kuasa hari ini.

Tindakan kedua-dua pemimpin itu dikatakan susulan kenyataan Latheefa yang mendakwa pelantikan pengerusi negeri dilihat seolah-olah berkelompok dan berpuak-puak.

Berita Harian X