Isnin, 17 Disember 2018 | 3:57pm
NAIB Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua. - Foto Aziah Azmee

Saya terkejut dan sedih - Tian Chua

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua terkejut dan sedih dengan keputusan Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden parti itu.

Tian Chua berkata, PKR bagaimanapun belum menerima sebarang surat rasmi berhubung keputusan yang dibuat Ahli Parlimen Permatang Pauh terbabit.

“Saya sendiri dapat daripada media dan saya terkejut dan sedih dengan berita serta keputusan beliau. Kita belum dapat secara rasmi apa-apa (surat peletakkan jawatan) cuma dapat berita ini daripada media.

“Bagi saya beliau adalah pemimpin yang berpotensi dan dalam keadaan sekarang (saya) amat bersimpati dengan kedudukan beliau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurul Izzah dalam satu kenyataan hari ini melepaskan semua jawatannya di dalam PKR termasuk Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Beliau turut melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Mengulas lanjut, Tian Chua berkata, beliau percaya keputusan yang dibuat Nurul Izzah itu bukan atas desakan mana-mana pihak.

“Sebagai rakan lama yang berjuang dengan beliau, saya memahami dan beri sokongan atas apa sahaja keputusan yang dibuatnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohammed Fadzil, berkata beliau tidak mengetahui mengenai keputusan yang dibuat Nurul Izzah.

“Saya kini berada di luar negara, kita perlu menunggu kenyataan daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Berita Harian X