Ahad, 16 Disember 2018 | 6:20pm
Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif. - Foto Rosdan Wahid
Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif. - Foto Rosdan Wahid

5 sebab Dr Mahathir, BERSATU usah apologetik

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak wajar ‘dituding’ sebagai dalang atau bersikap ‘apologetik’, kononnya mencetuskan gelombang perpecahan dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.

Ketua Dasar dan Strateginya, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif, yang mengemukakan lima sebab bagi menangkis tanggapan itu berkata perpecahan sehingga menjurus kepada tindakan keluar parti secara ‘berjemaah’ tidak bermakna semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan senator akan ‘lompat’ menyertai BERSATU.

“Contohnya, seorang menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) di Sabah, minggu lalu, manakala selebihnya masih kekal sebagai Ahli Parlimen bebas sementara menunggu proses saringan dan pengesahan bagi menentukan mereka benar-benar bertaubat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada keputusan bekas Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Tan Sri Liew Yun Fah, yang mengumumkan keluar parti dan menyertai AMANAH, dalam satu majlis di Tawau, Sabah, pada 2 Disember lalu.

Berdasarkan perkembangan semasa, Rais berkata, BERSATU belum dinobat sebagai parti paling berpengaruh di Parlimen, sekali gus bercanggah dengan dakwaan dilemparkan segelintir pihak mutakhir ini.

“Hanya dengan kekuatan 19 Ahli Parlimen, BERSATU kekal sebagai parti minoriti, berbanding DAP yang mempunyai 42 Ahli Parlimen, manakala PKR diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 50 Ahli Parlimen,” katanya sambil menyifatkan ia mesej jelas bahawa BERSATU masih jauh ketinggalan dalam aspek pegangan kerusi di Parlimen.

Mengemukakan sebab kedua, Rais berkata, BERSATU hanya boleh dianggap sebagai paling berkuasa di Malaysia dalam landskap politik sekiranya semua 47 Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti dan menyertainya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa hanya bekas ahli UMNO yang tidak terpalit dengan sebarang elemen rasuah didalangi pentadbiran terdahulu akan diberi ‘tiket’ menjadi sebahagian daripada keluarga BERSATU.

“Ia juga tidak asing daripada pengetahuan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa dimaklumkan mengenai sebarang keputusan sebegini.

“Sebab ketiga pula, rakan komponen seperti DAP dan PKR berulang kali menyatakan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan bekas ahli UMNO yang mempunyai agenda meragukan.

“Naib Presiden PKR, Dr A Xavier Jayakumar, sebaliknya menegaskan bahawa bekas ahli UMNO hanya akan diterima jika mereka sedia mendedahkan kepincangan didalangi kepemimpinan parti, selain menyatakan taat setia kepada Anwar sebagai bakal Perdana Menteri,” katanya.

Rais berkata, BERSATU tidak akan bersikap ‘curang’ dengan menyisihkan pendirian rakan komponen yang ketika ini menyatakan keengganan untuk mereka menerima kemasukan bekas ahli UMNO.

Selain itu, katanya, PH perlu meraih peningkatan dalam kalangan pengundi Melayu yang ketika ini hanya sekitar 25 hingga 30 peratus, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

“Untuk mewujudkan Malaysia baharu, di mana 60 hingga 65 peratus daripada penduduk di negara ini ialah Melayu, kita tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru dengan menyisihkan keperluan meraih sokongan wakil Melayu.

“Anwar tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk menerima Ahli Parlimen dan ADUN berkenaan, selagi mereka menyatakan kesetiaan terhadapnya. Hakikatnya, UMNO sukar diterima sebagai satu entiti.

“Oleh itu, PH perlu cakna supaya jangan terima mereka semua bulat-bulat, sebaliknya segelintir daripadanya, kerana bukan satu dosa untuk kita menjalin kerjasama dengan Ahli Parlimen yang keluar daripada parti masing-masing selagi tidak didakwa bersandarkan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Berita Harian X