Sabtu, 15 Disember 2018 | 6:38pm
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) menyampaikan sumbangan kepada murid di Majlis Penyampaian Sumbangan Pakaian Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Jerlun di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jerlu, di Ayer Hitam. - Foto Sharul Hafiz Zam
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) menyampaikan sumbangan kepada murid di Majlis Penyampaian Sumbangan Pakaian Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Jerlun di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jerlu, di Ayer Hitam. - Foto Sharul Hafiz Zam

PH tak perlu risau kemasukan Ahli Parlimen dan ADUN UMNO ke BERSATU - Mukhriz

JERLUN: Kepemimpinan komponen parti dalam Pakatan Harapan (PH) digesa supaya tidak perlu risau berikutan penyertaan ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO yang ‘melompat’ masuk ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas mengisytiharkan keluar dari parti berkenaan.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata perkembangan semasa berkenaan situasi ramai Ahli Parlimen dan ADUN UMNO yang mengisytiharkan diri mereka keluar dari parti itu sering dipantau oleh PH.

“Penyertaan mereka (ahli parlimen dan ADUN UMNO) ke dalam BERSATU sudah pun dimaklumkan kepada ketiga-tiga parti lain dalam PH melalui Mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Memang ada perbincangan terutama mereka yang berada dalam kepimpinan UMNO berkenaan penyertaan ke dalam BERSATU dan itu satu perkara yang kami akui.

“Namun, ia belum pasti untuk diterjemahkan dalam bentuk penghijrahan beramai ke dalam parti ini ke atas mereka yang keluar dari parti berkenaan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program “Back To School” di Pusat Khidmat Parlimen Jerlun, Ayer Hitam, di sini hari ini.

Katanya, BERSATU mempunyai satu proses tapisan permohonan kepada sesiapa terutama ahli UMNO yang ingin menyertai parti berkenaan.

“Setiap permohonan belum lagi disahkan penerimaannya jadi kita akan melihat terlebih dahulu siapa sebenarnya yang memohon untuk masuk parti ini.

“Selain itu juga kita mengambil serius setiap proses tapisan yang dilakukan selaras dengan saranan Pengerusi parti ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dari segi ahli biasa, sudah puluhan ribu ahli UMNO menyertai BERSATU di seluruh negara dan kita juga ada meminta pandangan daripada peringkat bahagian di mana pada peringkat itu, mereka ini lebih mengenali pemohon ahli BERSATU seperti Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) atau bekas ketua cawangan UMNO itu sendiri dan jika mereka ini seorang yang baik dari segi perlakuan integriti sebelumnya mungkin dapat diterima baik ke dalam parti kita,” katanya.

Beliau berkata, namun jika sebaliknya permohonan mereka ini akan terus ditolak dan memang ada dalam situasi ini permohonan terpaksa ditolak.

“Walaupun BERSATU terbuka untuk menerima permohonan daripada mana-mana pihak sekalipun sehinggalah mereka menjadi ahli, kita tidak akan sekali-kali melindungi tokoh atau ahli kita daripada disiasat oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Walaupun dia bekas ahli UMNO yang kini sudah menyertai kita dan jika disiasat didapati bersalah...orang ini tidak akan dilindungi oleh BERSATU dan kita sentiasa membenarkan proses undang-undang berlangsung,” katanya.

Mukhriz turut mengulas sangkaan rakan komponen PH yang melihat penyertaan Ahli Parlimen dan ADUN dari UMNO ini hanyalah untuk menambahkan kerusi BERSATU dalam parlimen.

“Inilah yang sering saya jelaskan kepada rakan parti komponen PH bahawa dalam amalan demokrasi, kita tak seharusnya menolak jika ada mana pihak atau pembangkang sekalipun mahu menyertai PH kerana belum tentu mereka ini menyertai BERSATU..mungkin mereka menyertai Warisan, PKR, Amanah dan juga DAP.

“Penyertaan mereka ini juga perlu dilihat secara keseluruhan terutama dalam urusan penggubalan dasar dan pindaan undang-undang di peringkat parlimen dan bukannya melihat soal penambahan kerusi BERSATU daripada 15 menjadi 16 kerusi sekarang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya cuba menerangkan kepada rakan parti komponen PH bahawa perkembangan yang berlaku adalah kebetulan dan bukannya niat untuk mengukuhkan kedudukan BERSATU dalam Parlimen.

“Selain itu juga, saranan Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu untuk wujudkan Akta Anti Lompat Parti dilihat sebagai suatu perkara yang ‘makan diri’.

“Ini kerana perkara ini sudah banyak kali dibincangkan sebelum ini tetapi bila ada orang ‘lompat’ parti masuk parti kita sendiri, kita tak cakap apa pun sebab untungnya pada kita,” katanya.

Berita Harian X