Sabtu, 15 Disember 2018 | 3:19pm
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidik dan Inovasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Ahli Parlimen UMNO masuk PH capai majoriti dua pertiga

KUALA LUMPUR: Sindrom Ahli Parlimen UMNO keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bukan langkah menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi ia langkah untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) mempunyai sokongan majoriti dua pertiga dalam Parlimen.

Pemerhati politik bersetuju bahawa sekiranya PH gagal mendapatkan sokongan dua pertiga dalam Dewan Rakyat, keadaan itu dilihat dapat merencatkan proses menzahirkan janji dan melaksanakan reformasi.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata langkah untuk menyekat Anwar tidak berlaku kerana proses itu agak susah, lebih-lebih lagi apabila tujuan itu diangkat sebagai matlamat utama.

Beliau berkata, ini kerana jumlah Ahli Parlimen UMNO masih tidak mencukupi melainkan ramai Ahli Parlimen daripada PH sendiri ikut sama untuk singkirkan Anwar.

“Setakat ini, saya tidak nampak keadaan itu berlaku. Ahli Parlimen keluar parti untuk kuatkan PH demi melaksanakan proses reformasi.

“Reformasi hanya akan berjaya dan berkesan kalau ada (sokongan) dua pertiga di Parlimen. Lagipun, BERSATU juga menolak beberapa Ahli Parlimen UMNO untuk sertai. Bukan semua masuk BERSATU, ada juga berminat dengan PKR dan AMANAH (Parti Amanah Negara).

“Saya rasa kalau ada game (permainan) sebegini, ia tidak ke mana. Maksudnya, penerimaan Ahli Parlimen UMNO ke PH, matlamat utama adalah untuk capai dua pertiga bagi membolehkan segala janji dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

PH kini berbaki 12 lagi kerusi untuk menghampiri angka 148 bagi meraih majoriti dua pertiga.

Dengan perkembangan itu, PH kini menguasai 128 daripada 222 kerusi Parlimen iaitu 16 melalui BERSATU, 11 milik PAN, DAP (42), PKR (50) dan baki sembilan lagi melalui Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Jika kemungkinan sokongan lima kerusi baharu di Sabah iaitu Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran dan Libaran serta tiga milik Gabungan Bersatu Sabah (GBS) iaitu Keningau yang dimiliki STAR, Pensiangan (PBRS) dan Kota Marudu (PBS), PH mungkin boleh mencapai 136 kerusi keseluruhan.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata penyertaan Ahli Parlimen UMNO ke PH adalah usaha menambah kesahihan politik BERSATU sebagai suara orang Melayu dalam PH.

Selain mengukuhkan suara orang Melayu dalam Parlimen, katanya, langkah itu sekali gus dapat memudahkan kerajaan melaksanakan sebarang agenda terutama membabitkan perihal orang Melayu.

“Sisi baiknya, penyertaan sebagai Ahli Parlimen BERSATU... suara Melayu akan bertambah dalam PH. UMNO dan PAS selalu gunakan isu perkauman dengan menuduh PH didominasi DAP. Proses ini sedikit sebanyak menjernihkan keadaan.

“Saya lihat kegusaran Anwar ketika ini adalah apabila menerima ‘mentah-mentah’ Ahli Parlimen UMNO yang ada kes rasuah. Mungkin akan ada bantahan daripada Ahli Parlimen PKR,” katanya.

Berita Harian X