Rabu, 12 Disember 2018 | 2:51pm

UMNO Sabah lumpuh

KOTA KINABALU: UMNO Sabah terima tamparan hebat apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Mereka termasuk sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama ialah empat ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Secara keseluruhan, sembilan ADUN, empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian Umno Sabah bertindak meninggalkan parti itu.

Hajiji dipetik berkata, Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa, yang belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, turut menyuarakan hasrat keluar UMNO untuk bersama kumpulan terbabit.


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Hajiji Noor bersama beberapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO Negeri semasa sidang media mengumumkan keluar daripada UMNO, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Majlis pengumuman keputusan itu turut menyaksikan kehadiran kebanyakan pemimpin kanan dan ahli Jawatankuasa UMNO Sabah, antaranya Ketua Penerangan UMNO negeri, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak kelihatan dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Hajiji berkata, keputusan meninggalkan UMNO itu dibuat secara sebulat suara.

“Malangnya, UMNO kini menjadi seperti masa dulu. Kepimpinan sedia ada tidak mempunyai hala tuju politik yang jelas.

“Kami tidak pasti ke mana hala tuju UMNO. Ada kenyataan bercanggah mengenai masa depannya, bergantung kepada siapa anda bercakap di pucuk pimpinan sedia ada,” katanya.

Senarai pemimpin UMNO Sabah yang keluar parti:

Ahli Parlimen

1. Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort)

2. Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat)

3. Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran)

4. Datuk Zakaria Edris (Libaran)

5. Yamani Hafez Musa (Sipitang)

ADUN

1. Datuk Hajiji Noor (Sulaman) - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah

2. Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan)

3. Datuk Isnin Alias (Klias)

4. Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang)

5. Matbali Musah (Lumadan)

6. Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas)

7. Datuk Mohd Ariffin Arif (Membakut)

8. Datuk Musbah Jamli (Tempasuk)

9. Datuk Japlin Akim (Usukan)

Pemimpin UMNO yang kalah PRU-14

1. Datuk Seri Salleh Said Keruak - Ketua Bahagian Kota Belud - tanding Parlimen Kota Belud

2. Datuk Ramlee Marahaban - Ketua UMNO Semporna - tanding Parlimen Semporna

3. Datuk Sapawi Ahmad - Ketua UMNO Sipitang - tanding DUN Sindumin

4. Datuk Sairin Karno - Ketua UMNO Keningau - tanding DUN Liawan

5. Datuk Abdul Rahim Ismail - Ketua UMNO Papar - tanding DUN Pantai Manis

Ahli Dewan Negara mewakili UMNO Sabah

1. Senator Datuk John Ambrose - Ketua Bahagian Penampang

2. Senator Datuk Abdul Ghani Yassin - Ketua Bahagian Pensiangan

Pemimpin UMNO negeri yang lain

1. Tan Sri Pandikar Amin Mulia - Ketua Penerangan UMNO negeri

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Mohd Noor ketika hadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-15 di Bangunan DUN Sabah, di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
Datuk Hajiji Mohd Noor bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO Sabah pada sidang media di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting
Berita Harian X