Selasa, 11 Disember 2018 | 8:16pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman kini sertai WARISAN. - Foto NSTP

Pemimpin UMNO Sabah sertai BERSATU?

KOTA KINABALU: Badan Perhubungan UMNO Sabah hari ini mengadakan mesyuarat tergempar dihadiri pemimpin tertingginya termasuk hampir sebahagian daripada 25 ketua bahagian serta pimpinan sayap, dipercayai membincangkan hala tuju parti itu.

Spekulasi bertiup kencang di negeri ini menyatakan sebahagian pemimpin UMNO negeri akan meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, empat Ahli Parlimen UMNO dari Sabah dilaporkan akan meninggalkan parti iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat); Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort); Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran).

Mesyuarat bermula jam 3.30 petang di sini dipengerusikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor, namun beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, sebaliknya akan mengadakan sidang media esok.

Difahamkan, antara pemimpin yang hadir ialah 13 daripada 25 ketua UMNO bahagian di Sabah, selain bekas menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sementara itu, portal Sabah News Today melaporkan, Ketua UMNO Kudat, Datuk Guraman Lolong, berkata pihaknya perlu melihat semula hala tuju berikutan kira-kira 30 peratus ahli UMNO bahagian itu sudah menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Katanya, jika beliau masih bersama UMNO, sukar untuk menolong rakyat berdasarkan pelbagai kekangan berbanding jika berada dalam BERSATU, apa lagi kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang semakin kuat.

Oktober lalu, UMNO Sabah mengesahkan keluar Barisan Nasional (BN) bagi peringkat negeri dan menubuhkan Gabungan Bersatu Sabah (GBS), iaitu pakatan pembangkang yang turut disertai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Bagaimanapun, UMNO Sabah kekal berada dalam BN pada peringkat Pusat.

Namun, jika benar seperti dilaporkan UMNO Sabah akan dibubarkan untuk menyertai BERSATU, kedudukan mereka dalam GBS akan menjadi tanda tanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman yang keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas sejak Ogos lalu, mengisytiharkan menyertai WARISAN.

Petang tadi, bekas Ketua UMNO Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya mengumumkan keluar UMNO bersama 55 ketua cawangan selepas mendakwa hilang kepercayaan kerana kepemimpinan UMNO bahagian gagal dalam usaha memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat serta ahli parti.

Beliau juga menzahirkan sokongan penuh kepada Dr Mahathir.

Berita Harian X