Selasa, 11 Disember 2018 | 4:53pm
SAMSUDIN (tengah) mengumumkan keluar parti bersama 55 ketua cawangan di Sandakan, hari ini. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom
SAMSUDIN (tengah) mengumumkan keluar parti bersama 55 ketua cawangan di Sandakan, hari ini. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi umum keluar parti

SANDAKAN: Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya, mengumumkan keluar parti bersama 55 ketua cawangan di sini, hari ini.

Samsudin yang tiga penggal menjadi ketua bahagian sebelum ditewaskan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Batu Sapi, Khairul Firdaus Akhbar Khan pada pemilihan lalu, mengumumkan keluar parti bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Zantapha Jainal Abidin dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Batu Sapi, Hazulizah Md Dani.

Samsudin berkata, keputusan itu diambil selepas hilang kepercayaan kepada Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi kerana gagal memulihkan keyakinan dan kepercayaan ahli parti.

Bagaimanapun, katanya, mereka meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan menyokong apa juga langkah diambil untuk membawa hala tuju wadah perjuangan mereka seterusnya.

“Kami dengan ini juga menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami berpendapat bahawa perlu ada parti yang boleh dijadikan sandaran untuk membela kepentingan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah, selari dengan pucuk kepimpinan politik peringkat nasional,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong.

Ditanya sama ada akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Samsudin berkata pihaknya meletakkan kepercayaan kepada Hajiji dan akan mengikuti apa juga langkah yang bakal diambil selepas ini.

“Apa juga hala tuju Datuk Hajiji selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, pendirian pertama kami adalah mengikuti Datuk Hajiji,” katanya.

Samsudin berkata, keputusan untuk meninggalkan UMNO itu diambil sejak seminggu lalu kerana mahukan perubahan terhadap landskap politik di kawasan berkenaan.

Berita Harian X