Isnin, 19 November 2018 | 8:30am
MENTERI Kerja Raya, Baru Bian. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Baru Bian jawab teguran Anwar

KUANTAN: Menteri Kerja Raya, Baru Bian menafikan beliau memboikot Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-13 yang menyebabkannya diberi amaran oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baru berkata, beliau sebenarnya sudah mengarahkan Setiausaha Politiknya, Zakaria Abdul Hamid, untuk memaklumkan ketidakhadirannya kepada Sekretariat Kongres PKR kerana mempunyai lawatan rasmi ke Ipoh, Perak dan di sini.

Katanya, kelmarin beliau berada di Ipoh untuk merasmikan majlis penutupan Sukan Kementerian Kerja Raya manakala di Kuantan untuk mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur serta menghadiri Majlis Anugerah Kewartawanan Lebuhraya Pantai Timur 2018 (AKLPT18).

"Walaupun begitu ramai perwakilan dari Sarawak hadir, saya hanya bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak dan tidak bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kerana ingin beri ruang kepada orang lain.

"Sekiranya dilantik atau dipilih, saya akan menjadi semula (Pengerusi MPN PKR Sarawak)...kalau tidak saya hanya ‘orang kecil’ dalam parti.

"Sebagai menteri pusat itu lain dengan jawatan dalam politik, ia tanggungjawab saya sebagai menteri yang harus saya jalankan," katanya ketika ditemui selepas majlis AKLPT18 di sini, malam tadi.

Anwar, dalam ucapannya pada Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam, Selangor, memberi amaran keras kepada menteri kabinet dari parti itu kerana gagal menghadiri persidangan berkenaan.

Anwar dilaporkan berkata, amaran itu ditujukan kepada Baru kerana tidak memberi sebarang penjelasan mengenai ketidakhadirannya.

Dua lagi menteri Kabinet daripada PKR yang tidak hadir adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, ke Papua New Guinea dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar yang menghadiri persidangan di Mesir.

Mengulas lanjut, Baru berkata tiada isu boikot yang mungkin didakwa segelintir pihak dalam parti mengenai ketidakhadirannya pada Kongres Nasional PKR ke-13 itu.

"Itu bukan boikot, dua menteri itu menjalankan tugas di luar negara manakala saya dalam negara...tiada beza pun," katanya.

Berita Harian X